Khamis, 14 Disember 2017

Juara Seluruh England tunggu Koo-Tan

ARKIB : 09/01/2009
KUALA LUMPUR - Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi wakil tunggal Malaysia meneruskan cabaran pada suku akhir beregu lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia hari ini, namun mereka menempah pertemuan sukar dengan juara Seluruh England, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung dari Korea Selatan.

Selepas cabaran tiga lagi beregu negara - Gan Teik Chai-Tan Bin Shen, Hoon Thien How-Lim Khim Wah dan Mohd. Razif Abdul Latif-Chan Peng Soon berkubur, Kien Keat-Boon Heong menjadi sandaran utama negara untuk merampas kembali gelaran yang dimenangi mereka pada 2007.

Semalam, bekas pemain nombor satu dunia itu mudah menjinakkan beregu muda senegara, Razif-Peng Soon 21-17, 21-10 dalam masa 22 minit untuk mengulangi pertemuan akhir Siri Super Masters Final dengan Yong Dae-Jae Sung.

Jika rekod pertemuan terakhir menjadi ukuran, Kien Keat-Boon Heong memiliki kelebihan ke atas pasangan Korea Selatan itu selepas menumpaskan mereka 21-14, 21-18 di Kota Kinabalu, dua minggu lalu.

Menang

Bagaimanapun rekod empat pertemuan mereka seimbang dengan pasangan negara menang dua kali - di Masters Akhir 2008 dan Terbuka Macau 2007, manakala beregu Korea juga menang dua perlawanan.

Semalam, Yong Dae-Jae Sung mara selepas menundukkan rakan senegara, Hwang Ji Man-Han Sang Hoon 21-15, 21-17.

"Walaupun nampak seperti menang mudah dalam dua pertemuan pertama, tetapi kami sebenarnya belum menemui rentak permainan sebenar dan pertahanan kami juga agak goyah hari ini.

"Bagaimanapun selepas mengalahkan Lee Yong Dae-Jung Jae Sung pada pertemuan terakhir kami di Sabah tahun lalu, saya rasa lebih yakin untuk memenangi perlawanan esok kalau kami berjaya mengulangi permainan yang sama," kata Boon Heong.

Sementara itu, kombinasi baru dua pemain veteran Indonesia, Candra Wijaya-Luluk Hadiyanto masih menjadi ancaman besar dalam kejohanan ini selepas menyingkirkan beregu muda negara, Teik Chai-Bin Shen 21-13, 21-11.

Thien How-Khim Wah pula memberikan cabaran yang baik kepada juara Olimpik dan pasangan nombor satu dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia sebelum tumpas 17-21, 18-21.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51IeNMlvo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan