Khamis, 21 September 2017

Badminton: Mew Choo, beregu mara ke suku akhir



ARKIB : 09/03/2007

KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menyingkirkan pemain dari China, Wang Lin pada pusingan kedua Kejohanan Super Siri Badminton Seluruh England di Arena Tertutup Birmingham, England semalam.

Selepas melakukan kejutan menyingkirkan pilihan ketujuh juga dari China, Lu Lan di pusingan pertama dengan 21-12, 21-19, naib juara Terbuka Malaysia terpaksa mengharungi tiga set sebelum dapat mengetepikan Wang Lin.

Biarpun tewas set pertama dengan 18-21 namun semangat kental Mew Choo nyata sukar ditandingi oleh Wang Lin apabila pemain negara menang dua lagi set dengan 21-17 dan 21-14.

Begitupun tugas berat menanti pemain perseorangan wanita negara itu yang dijadualkan berdepan pemain pilihan kedua dari China Zhang Ning di peringkat suku akhir.

Kemaraan Mew Choo selaku pemain bukan pilihan turut dijejaki oleh beregu emas negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong apabila mudah mengetepikan gandingan dari Indonesia, Luluk Hadiyanto/Alvent Yulianto Chandra 22-20 dan 21-15.

Agak menghampakan buat bekas juara kejohanan ini pada 2003, Muhammad Hafiz Hashim apabila kemaraannya untuk ke suku akhir disekat oleh pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro.

Hafiz nyata tidak berupaya menandingi kehebatan Sony apabila tunduk mudah 21-11 dan 21-14 dalam tempoh 32 minit.

Kekalahan Muhammad Hafiz turut dijejaki oleh perseorangan muda wanita, Julia Wong yang tewas kepada pemain China, Jiang Yanjiao dengan keputusan 21-13 dan 21-12.

Turut gagal ialah beregu wanita menerusi gandingan Chiou Hwee Haw/Yin Loo Lim tewas mudah kepada pasangan dari Taiwan, Yu-Chin Chien/Wen-Hsing Cheng dengan 21-17 dan 21-9.

Satu lagi beregu wanita yang turut tewas ialah gandingan Lim Pek Seah/Quay Joanne Swee Ling tunduk 18-21 dan kepada pasangan dari Poland Kamila Augustyn/Nadiezda Kostiuczyk 18-21 dan 17-21.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4tNK6XbdT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan