Sabtu, 16 September 2017

Hafiz, beregu terus mara



ARKIB : 27/01/2007

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim dan beregu muda, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong meneruskan cabaran Malaysia ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea, semalam.

Bagaimanapun, Lee Chong Wei gagal melepasi peringkat suku akhir saingan Siri Super buat kali kedua berturut-turut, sekali lagi di tangan pemain China, kali ini tewas 21-14, 15-21, 16-21 kepada Chen Jin.

Turut gagal meneruskan cabaran adalah jaguh veteran, Mohd. Roslin Hashim yang terpaksa akur kepada kehebatan pemain nombor satu dunia dan juara dunia, Lin Dan 18-21, 15-21 dalam masa 38 minit.

Hafiz yang tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lalu bangkit di Korea dengan menundukkan juara Asia 2004, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia 21-16, 13-21, 23-21.

Pemain nombor sembilan dunia itu yang gagal memenangi kejuaraan besar sejak kemenangan bersejarah pada Seluruh England 2003 akan bertemu pemain nombor enam dunia, Chen Jin.

Andai rekod menjadi ukuran, kelebihan nyata berpihak kepada Chen Jin yang memenangi kesemua tiga pertemuannya dengan Hafiz - China Masters 2006, Seluruh England 2006 dan Terbuka Thailand 2006.

Sementara itu, dalam pertemuan yang dinanti-nantikan peminat badminton tanah air, Kien Keat-Boon Heong mengetepikan beregu nombor satu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah untuk mara ke separuh akhir.

Juara Terbuka Malaysia, Sukan Asia dan naib juara Terbuka Jepun itu bagaimanapun hanya sempat beraksi dalam set pertama selepas lawan mereka menarik diri di set kedua. Kien Keat-Boon Heong menang 21-19.

Beregu negara itu akan berdepan Lee Jae Jin-Hwang Ji Man, pasangan tuan rumah yang telah mengalahkan mereka pada peringkat separuh akhir acara berpasukan Sukan Asia Doha, bulan lalu.

Semalam, Jae Jin-Ji Man mara selepas mengejutkan pasangan nombor dua dunia, Jens Eriksen- Martin Lundgaard Hansen dari Denmark 21-12, 21-13.

Kien Keat-Boon Heong, yang berjaya ke perlawanan akhir dalam semua tiga kejohanan antarabangsa yang disertai mereka sejak kali pertama berganding pada Oktober, 2006 berpeluang untuk mengulangi pertemuan dengan Tony Gunawan-Candra Wijaya jika menang hari ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4spXVrvof
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan