ARKIB : 30/07/2001
Daripada ZULKIFLEE BAKAR
JAKARTA - Harapan pemain
negara, Lee Tsuen Seng untuk mengulangi kejayaan Yong Hock Kin pada tahun 1998
memenangi Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia berkecai apabila dia tewas
kepada pemain tuan rumah, Marleve Mainaky, 8-6, 5-7, 3-7, 3-7 dalam perlawanan
akhir di Stadium Istora Bung Karno, Jakarta, semalam.
Tsuen Seng yang mengejutkan
pemain pilihan pertama Lee Hyung II di separuh akhir kelmarin gagal mengatasi
kecemerlangan itu apabila sering terperangkap dalam permaian jaring dan pukulan
tajam lawan.
Dalam perlawanan hanya 30 minit
dan turut disaksikan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Rastam Mohd. Isa
itu ternyata hanya mampu bertahan di set pertama sahaja.
Manakala pada set kedua, ketiga
dan keempat, tindakan Tsuen Seng cuba mengajak Marleve bermain rali ternyata
memerangkap dirinya sendiri kerana bulu tangkis yang dibalas sering keluar dan
tersangkut pada jaring.
Kegagalan Tsuen Seng sekali gus
membuka laluan kepada Indonesia untuk menyapu bersih semula gelaran dalam
kejohanan kali ini.
Dengan kekalahan itu Tsuen Seng
menerima wang tunai sebanyak AS$6,800 (RM25,840), manakala Marleve sebagai
juara menerima sebanyak AS$13,600 (RM51,680)
Sementara itu dalam beregu
lelaki, juara dunia Tony Gunawan-Halim Haryanto dari Indonesia sekali lagi
tewas kepada rakan senegara Candra Wijaya-Sigit Budiarto 2-7, 3-7, 5-7.
Manakala dalam saingan
perseorangan wanita pilihan pertama dari Hong Kong, Wang Chen tewas mengejut
kepada pemain tuan rumah, Ellen Angelina dengan 5-7, 3-7, 7-5, 4-7.
Indonesia turut menguasai acara
beregu wanita apabila pasangan utamanya, Deyana Lomban-Marisa Vita mengalahkan
Ann Lou Jorgensen-Jan Bramsen dari Denmark 5-7, 5-7, 3-7.
Acara beregu campuran, Tri
Kusharyanto-Emma Ermawati menumpaskan rakan senegara Nova Widhiyanto-Vita
Marissa, 7-5, 7-1, 2-7, 7-1. - Utusan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhntwXVl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan