ARKIB : 01/07/2002
Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM
PEMAIN negara, James Chua merangkul
kejuaraan antarabangsa pertamanya selepas menundukkan penyandang juara, Ong Ewe
Hock pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Proton-Eon 2002
di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa) semalam.
Kejayaan mengejutkan pemain veteran
kelahiran Pulau Pinang dalam permainan straight set 15-10, 15-6 itu sekali gus
melenyapkan gelaran jaguh kampung yang diberikan kepadanya kerana hanya berjaya
memenangi pertandingan di peringkat kebangsaan saja.
James, pemain kelahiran Kuching,
Sarawak mengambil masa 45 minit untuk menjinakkan pemain berpengalaman itu
melalui permainan pantas dan mengelirukan.
Pemain senior negara yang tampak
keletihan itu gagal menyaingi permainan rali pemain berusia 23 tahun tersebut
yang bijak membaca permainan Ewe Hock.
`'Saya pernah empat kali
menewaskan Ewe Hock dan sudah dapat membaca permainannya, menggunakan taktik
rali yang memenatkannya.
`'Kejayaan ini cukup membanggakan
saya dan saya akan cuba pertahankan prestasi yang dipamerkan,'' kata James
selepas perlawanan.
Ewe Hock, 30, mempamerkan aksi
yang tidak kemas banyak melakukan kesilapan menerusi hantaran bola ke luar
gelanggang selain gagal mengambil bola belakang yang memberi kelebihan kepada
James untuk memungut mata demi mata.
`'Saya akur dengan kemenangan
James dan saya telah memberi persembahan terbaik... saya tidak kecewa,'' kata
Ewe Hock.
Kegagalannya menyertai skuad
Piala Thomas negara tidak mengecewakan James kerana prestasinya pada ketika itu
tidak pada tahap terbaik.
`'Walaupun tidak tersenarai
tetapi pengalaman mengikuti skuad ke China memberi banyak pendedahan, saya
telah buktikannya pada petang ini,'' kata James lagi.
Kemenangan itu membolehkan James
menerima wang tunai sebanyak AS$9,600 (RM36,480) manakala Ewe Hock pula
menerima wang tunai AS$4,800 (RM18,240).
Sementara itu, jurulatih
perseorangan negara, Indra Gunawan berkata, beliau gembira dengan peningkatan
prestasi yang ditunjukkan oleh perseorangan negara.
``Sekiranya prestasi James dapat
dikekalkan dia boleh diserapkan dalam skuad negara, dia perlu buktikan yang
terbaik,'' katanya.
Dalam satu lagi pertandingan,
beregu bidan terjun negara, Chong Tan Fook dan Chang Kim Wai terpaksa berpuas
hati dengan gelaran naib juara setelah tewas mudah kepada pasangan China, Liu
Yong dan Chen Qiqiu.
Pasangan baru itu tewas straight
set permainan 17-14, 15-3 walaupun memberi saingan pada set pertama.
Kemenangan itu membolehkan
pasangan China membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$8,640 (RM32,832)
manakala pasangan negara menerima wang tunai sebanyak AS$4,800 (RM18,240).
Pemain China turut menguasai
kategori perseorangan dan beregu wanita dengan Hu Ting mengejutkan pemain
nombor satu dunia, Camilla Martin 11-8, 11-6.
Gandingan Huang Nanyan dan Yang
Wei pula menjuarai kategori beregu setelah menewaskan rakan senegara, Zhang
Yawen dan Zhao Tinting 11-5, 11-5.
Terbuka Malaysia merupakan
kejohanan pertama yang kembali menggunakan sistem 15 mata bagi kategori lelaki
dan 11 bagi perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran.
KEPUTUSAN
Perseorangan lelaki : JAMES CHUA
(MAS) kln ONG EWE HOCK (MAS) 15-10, 15-6.
Perseorangan wanita: Hu Ting
(CHN) kln Camilla Martin (DEN) 11-8, 11-6.
Beregu lelaki: Liu Yong/Chen
Qiqiu (CHN) kln CHONG TAN FOOK/CHANG KIM WAI (MAS) 17-14, 15-3
Beregu wanita: Huang Nanyan/Yang
Wei (CHN) kln Zhang Yawen/Zhao Tingting (CHN) 11-5, 11-5.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4cDUFkP90
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan