Sabtu, 18 Mac 2017

Pemain muda berjaya timba pengalaman

ARKIB : 21/08/2001
KEJOHANAN Badminton Terbuka Singapura yang berakhir kelmarin memperlihatkan aksi yang memberangsangkan barisan pemain muda negara dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

Selain Wong Choong Hann yang muncul naib juara kejohanan itu, pemain Malaysia kembali menjadi perhatian apabila tiga pemain muda, Muhammad Hafiz Hashim, Ismail Saman dan Sairul Amar Ayob menewaskan lawan yang menduduki ranking lebih tinggi daripada mereka.

Hafiz, 18, yang kini cuba mengikuti kejayaan abangnya, Roslin Hashim menamatkan kerisauan pemain negara terhadap kebangkitan Boonsak Polsana dari Thailand yang sebelum ini pernah menewaskan Choong Hann, pemain China Chen Hong dan Taufik Hidayat dari Indonesia dengan menyingkirkannya pada suku akhir.

Namun kecetekan pengalaman menjadi penghalang baginya untuk melakukan kejutan kedua, bertemu Taufik di separuh akhir.

Ismail yang sebelum ini dianggap tidak mampu menyerlah di peringkat antarabangsa membuat kebangkitan pertamanya dengan menewaskan Chen Hong, pemain pilihan pertama kejohanan dipusingan kedua.

Seperti Hafiz, kekurangan pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa juga menghalangnya untuk meneruskan dipusingan kedua dan tewas kepada Boonsak di pusingan ketiga.

Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada Terbuka Singapura itu, Hafiz, Ismail, Sairul dan Ng Mee Feen berkemampuan tetapi kalah disebabkan kekurangan pengalaman dan terlampau menghormati lawan menyebabkan mereka gopoh dalam melakukan tindakan yang menyebabkan lawan mudah mendapat mata.

Namun kejayaan mereka memberi harapan kepada negara bahawa Malaysia kini tidak ketandusan pemain muda yang mampu menyerlah di peringkat antarabangsa.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bjX477cZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan