ARKIB : 19/08/2001
WONG CHOONG HANN.
Daripada MIR AZRI SHAHARUDIN
SINGAPURA - Hanya Wong Choong
Hann mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura selepas dia
menewaskan pencabar muda dari Indonesia, Johan Hadikusuma 7-1, 7-2, 7-1 dalam
masa 32 minit sahaja untuk bertemu Taufik Hidayat dalam acara perseorangan
lelaki.
Bagaimanapun seorang lagi
pemain perseorangan negara dari kelab Nusa Mahsuri Muhd. Hafiz Hashim terpaksa
akur dengan kekentalan pemain utama Indonesia, Taufik Hidayat apabila
tersungkur dalam tempoh 24 minit pada saingan separuh akhir semalam dengan
keputusan, 8-7, 2-7, 3-7 di Stadium Tertutup Singapura.
Nasib malang negara turut
menimpa pasangan beregu Chew Choon Eng/Chan Chong Ming selepas turut kecundang
pada babak separuh akhir semalam akibat tewas kepada pasangan pilihan kedua,
Candra Wijaya/Sigit Budiarto dari Indonesia, 8-7, 7-2, 7-3.
Malaysia yang memperlihatkan
kejutan pada barisan wanitanya kelmarin selepas Ng Mee Fen mara ke separuh
akhir hari ini, juga tidak memberikan khabar gembira apabila pemain itu juga
gagal dalam saingan semalam selepas tewas kepada pemain China, Zhang Ning, 7-0,
8-7, 7-3.
Pada aksi Choong Hann semalam,
pemain negara ini menggunakan segala kepakaran dengan pukulan smash kencang
untuk menggugupkan lawan.
Kata Choong Hann: ``Saya
bermain pantas untuk menguasai permainan dan menyimpan tenaga lebih untuk
membuat serangan ke atas lawan.''
Mengulas pertemuan akhir
menentang Taufik, hari ini, dia berkata: ``Perlawanan yang sukar. Ini merupakan
pertemuan yang kelima tetapi yang pertama dalam menggunakan kiraan mata
tujuh.''
Kedua-dua pemain itu akan
merebut gelaran pertama bagi tahun ini dan kali terakhir Choong Hann mara ke
perlawanan akhir ialah ketika dia bertemu Peter Gade Christensen dari Denmark
pada Terbuka Taiwan, tahun lalu. - Utusan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bjTMCBY6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan