Jumaat, 17 Mac 2017

Joo-bong bakal buat rombakan

ARKIB : 08/06/2001
SEVILLE, Sepanyol - Ketua jurulatih negara, Park Joo-bong akan merombak skuad pemain wanita negara bagi persiapan menghadapi Sukan SEA berikutan kegagalan mereka mempamerkan prestasi yang diharapkan pada Kejohanan Badminton Dunia yang sedang berlangsung di Stadium San Pablo, sekarang.

Menurut Joo-bong beregu wanita sememangnya akan dirubah untuk mencari gandingan yang lebih sesuai terutama bagi menghadapi Thailand yang semakin meningkat sekarang.

``Tugas lebih berat menanti mereka di Sukan SEA terutama dengan kebangkitan Thailand ini. Saya tidak puas hati dengan prestasi yang mereka tunjukkan di sini.

Mereka juga tidak mempunyai semangat juang yang diharapkan di sini,'' katanya semalam.

Kesemua pemain perseorangan dan beregu wanita negara menamatkan cabaran di kejohanan dunia kelmarin setelah tewas di dua pusingan awal.

Wong Miew Kheng kecundang di tangan pemain pilihan 3/4 Gong Ruina 10-13,2-11 sementara Ng Mee Fen ditundukkan oleh pemain pilihan kedua, Zhou Mi 0-11, 4-11, kedua-duanya di pusingan kedua.

Beregu wanita pula kecundang seawal pusingan pertama dengan gandingan Lim Pek Siah-Fong Chen Yen tumpas 15-9, 15-7 di tangan pemain Jepun, Shizuka Yamamoto-Seiko Yamada sementara Wong Pei Tty-Ang Li Peng disingkirkan oleh Huang Sui-Gao Ling dari China yang menang 15-6, 15-3.

Menurut Joo-bong 10 pemain wanita yang ada sekarang perlu bersaing untuk merebut hanya lapan tempat ke Sukan SEA XXI September ini.

Sementara itu, jurulatih beregu wanita negara, Cheah Soon Kit mengakui belum ada pemain yang sudah memastikan tempat mereka untuk mewakili negara pada Sukan SEA ini.

Menurutnya, beliau akan menumpukan kepada pemain yang mempamerkan prestasi menggalakkan dan pada pandangannya, hanya Pei Tty yang menunjukkan peningkatan yang diharapkan.

``Saya sudah beritahu pemain bahawa prestasi mereka di sini akan dikaji dan saya rasa apa yang ditunjukkan tidak memuaskan. Chew Yen contohnya tidak bersedia lagi kerana dia terlalu gementar ketika turun beraksi di sini.

``Joanne (Quay) pula telah empat atau lima tahun berada dalam skuad tetapi tidak menunjukkan peningkatan. Dia harus bertungkus-lumus meningkatkan prestasi sekiranya mahu tersenarai dalam skuad Sukan SEA,'' ujarnya. - Utusan

Kongsi Konten di :

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4beHosW00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan