Jumaat, 17 Mac 2017

Roslin, pasangan Choong mara


ARKIB : 07/04/2001

PEMAIN Korea Selatan, Lee Hyun-Il memberi aksi mantap ketika menyekat kemaraan Ong Ewe Hock dengan kemenangan 15-12, 15-8 pada suku akhir badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam. - Gambar AFP.

MALAYSIA meneruskan cabaran ke peringkat separuh akhir menerusi pemain Nusa Mahsuri, Roslin Hashim dan gandingan Chew Choong Eng/Chan Chong Ming yang menewaskan lawan masing-masing pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, semalam.

Seorang lagi pemain perseorangan negara, Ong Ewe Hock bagaimanapun tersingkir sekali gus menamatkan usahanya mengakhiri kemarau kejuaraan sejak 1996.

Bekas juara Terbuka Malaysia 1996 itu kecundang 15-12, 15-8 di tangan Lee Hyun-Il dari Korea.

Sementara itu, kekalahan pemain pilihan pertama kejohanan, Peter Gade Christensen semalam membuka peluang kepada Roslin untuk memburu kejuaraan keduanya.

Roslin menamatkan penantian tiga tahun pemain perseorangan negara untuk menjuarai pertandingan antarabangsa apabila menang di Terbuka Switzerland bulan lepas.

Gade Christensen yang memburu gelaran ketiga di kejohanan lima bintang itu setelah menang pada 1998 dan 1999 tumpas 15-11, 7-15, 15-7 kepada pemain China, Chen Hong dalam masa satu jam 15 minit.

Roslin pula mengesahkan tempat ke separuh akhir setelah menewaskan Anders Boesen dari Denmark 15-10, 15-4.

Keserasian gandingan Choong Eng/Chong Ming terus membawa hasil apabila pasangan muda itu menempah tiket ke separuh akhir dengan menumpaskan beregu berpengalaman China, Zhang Wei/Zhang Jun 15-10, 13-15, 15-8.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ba4h4Iun
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan