Khamis, 16 Mac 2017

Roslin terkilan



 
ARKIB : 21/03/2001
ROSLIN Hashim (kanan) menghadiahkan raket badminton kepada presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh di KLIA, Sepang semalam. Raket berkenaan digunakan Roslin dalam perlawanan akhir Terbuka Switzerland. - Gambar Raja Jaafar Raja Ali.

KEJAYAAN menamatkan kemarau empat tahun tanpa kejuaraan dengan menjuarai Terbuka Switzerland Ahad lalu, belum cukup untuk menebus rasa terkilan Roslin Hashim gagal membawa pulang gelaran Seluruh England pada ketika peluang sudah terbuka.

Menurut Roslin, 26, hanya kejuaraan yang lebih besar dari Seluruh England mampu mengubati rasa terkilannya selepas terkeluar daripada saingan separuh akhir kejohanan itu.

``Saya tidak gopoh mahupun gementar, cuma terlampau berhati-hati mungkin disebabkan keinginan yang tinggi untuk memenangi perlawanan itu,'' katanya yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

``Memang saya kecewa dan masih lagi terkilan dengan kekalahan itu, mujurlah saya menang di Switzerland tidaklah rasa kesal sangat,'' katanya lagi.

Roslin sepatutnya memenangi pertemuan dengan pemain China, Chen Hong selepas menang set pertama 15-10 dan mendahului mata permainan 14-13, tetapi membenarkan lawan mengheret perlawanan ke set ketiga sebelum kalah 16-17, 12-15.

Bagaimanapun, perseorangan utama negara itu tidak menghadapi masalah untuk memenangi Terbuka Switzerland dengan mengetepikan rakan senegara, Lee Tsuen Seng 1-7, 7-4, 7-4, 7-0 pada perlawanan akhir.

Roslin juga menegaskan, perubahan sistem mata kepada 5 x 7 pada kejohanan itu tidak banyak mempengaruhi permainannya.

``Saya sedikit pun tidak menukar corak permainan, malah tidak fikir bahawa kemenangan saya dibantu oleh perubahan tersebut.

``Bermain dengan sistem 3x15 atau 5x7 adalah sama. Apapun saya tetap gembira kerana berjaya menyesuaikan diri dengan sistem baru yang akan digunakan sepenuhnya pada masa akan datang.''

Roslin berkata, untuk memastikan kejayaannya mampu berterusan, apa yang perlu dilakukan adalah memantapkan mental, terutama apabila menghadapi perlawanan genting.

Sementara itu, presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd. Nadzmi Salleh berkata, Roslin mungkin menjadi pemain kelab pertama menerima insentif daripada badan induk badminton kebangsaan itu.

Menurut Nadzmi, ia adalah sebagai galakan kepada pemain untuk merangkul lebih banyak kejuaraan antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, jumlah insentif yang bakal diterima pemain Nusa Mahsuri itu belum diketahui dan akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa BAM akan datang.

``Kebiasaannya jumlah insentif adalah bergantung kepada taraf kejohanan. Lagi tinggi tarafnya, lagi tinggilah bayaran yang akan diterima,'' kata Nadzmi yang menyambut kepulangan Roslin di KLIA, semalam.

Katanya lagi, pemberian insentif juga akan membuktikan dasar ketelusan badan badminton kebangsaan itu untuk menyokong setiap pemain negara.

Terdahulu, presiden BAM itu turut menyambut kepulangan pemain muda negara, Tsuen Seng di KLIA pada sebelah pagi

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bVGs33GU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan