Selasa, 21 Mac 2017

Menang mudah luar jangkaan



ARKIB : 24/02/2002
MELBOURNE - Penasihat badminton negara, Indra Gunawan menganggap kemenangan mudah Malaysia ke atas Thailand pada perlawanan separuh akhir pusingan kelayakan Kejohanan badminton Piala Thomas merupakan sesuatu yang luar biasa.

Beliau berkata, gabungan pemilihan taktikal yang betul dan mental pemain yang kuat merupakan antara faktor mempengaruhi kejayaan tersebut. ``Ini merupakan satu kejayaan luar biasa tetapi saya berharap pemain akan meneruskannya walaupun kita sudah layak untuk beraksi di Guangzhou, Mei ini,'' katanya selepas menyaksikan perlawanan separuh akhir itu di Pusat Sukan dan Akuatik Melbourne, Albert Park, semalam.

Menurut Indra, Choong Hann yang pada mulanya dijangkakan mempunyai 50-50 peluang untuk menyumbang mata bermain dengan begitu mantap sekali semalam menentang Boonsak Polsana.

Ewe Hock juga bermain dengan baik walaupun dia agak leka pada set kedua yang menyaksikannya tewas 0-7 dalam masa empat minit.

Sementara itu, jurulatih beregu negara, Park Joo-bong mengakui peluang beregu untuk menyumbang mata pada perlawanan menentang Korea hari ini agak sukar berikutan prestasi pasukan lawan yang mantap.

``Beregu pertama Korea (Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung) kini bebas sepenuhnya daripada kecederaan dan bermain dengan baik,'' katanya.

Selain daripada itu perseorangan pertama mereka, Lee Hyun Il yang sukar digugat dan mempamerkan permainan mantap sepanjang kejohanan itu.

Joo-bong yang tidak menganggap usaha untuk muncul juara keseluruhan penting berkata, beliau hanya mahu pemain mempamerkan prestasi mantap tanpa mengira mereka menang atau kalah.

Namun Indra mempunyai pandangan berbeza kerana menganggap kedudukan sebagai juara keseluruhan bakal memberi sedikit kelebihan buat Malaysia pada undian pusingan akhir nanti.

Sementara itu, Roslin Hashim yang mengalami kecederaan siku kanan pada perlawanan menentang Shinyta Ohtsuka dari Jepun Khamis lepas dijangka akan terlepas peluang beraksi di perlawanan akhir hari ini.

Malaysia dijangka menurunkan barisan pemain yang sama semasa menentang Thailand semalam iaitu Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock dan Lee Tsuen Seng dalam acara perseorangan.

Beregu pula terdiri daripada Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan Chan Kim Wai-Hong Chien Hun.

Begitu juga Korea yang akan mempertaruhkan pemain terbaik mereka iaitu Hyun Il, Shon Seung Mo, Park Tae Sang dalam acara perseorangan dan Yong Sung-Dong Soo dan Kim Dong Moon-Ha Tae Kwon dalam beregu. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bwsvMgJt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan