ARKIB : 09/06/2001
Daripada SRY ANGRENI MD. ZET
Seville, Sepanyol
SEVILLE, Sepanyol - Dua beregu
negara meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di
Stadium San Pablo, semalam.
Pasangan utama negara, Choong
Tan Fook-Lee Wan Wah mengetepikan beregu Thailand, Pramote Teerawiwatana-Tesana
Panvisvas 17-14, 15-13.
Gandingan muda Chan Chong
Ming-Chew Choon Eng pula terus cemerlang dengan menumpaskan pilihan ke-3/4,
Lars Paaske-Martin Hansen Lundgaard dari Denmark 15-13, 15-2.
Chong Ming-Chew Eng yang
digandingkan 11 bulan lalu di Terbuka Thailand berjaya menebus kekalahan ke
atas pasangan Denmark itu pada Terbuka Switzerland Mac lalu untuk menempah
pertemuan dengan Halim Haryanto-Tony Gunawan dari Indonesia, hari ini.
Teerawiwatana-Panvisvas gagal
meneruskan kecemerlangan selepas mengejutkan pilihan ke-3/4 dari Indonesia,
Flandi Limepe-Eng Hian di pusingan awal.
Set pertama menyaksikan
kedua-dua beregu saling memperoleh mata sehingga beregu negara itu bangkit
daripada ketinggalan 10-12 untuk mengutip empat mata dan mengikat kedudukan
14-12.
Pasangan Denmark itu sempat
mengutip satu mata sebelum Chong Ming-Choon Eng mengutip mata kemenangan untuk
memenangi set pertama dengan 15-12.
Set kedua lebih mudah apabila
pasangan itu berjaya mendahului 6-1 sebelum bekas juara Terbuka Denmark itu
mengutip mata kedua mereka.
Tiket ke separuh akhir
bagaimanapun menjadi milik pasangan Malaysia apabila mereka terus mengutip mata
tanpa halangan untuk mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 15-2.
``Memang kami mempunyai peluang
untuk menang tetapi set pertama tidak diperoleh dengan mudah kerana mereka
(pasangan Denmark) itu mempunyai pertahanan yang baik.
``Pasangan Denmark itu merasa
sedikit gementar di set kedua serta ditambah dengan pukulan lebih berkualiti
daripada Choon Eng membolehkan kami memenangi set kedua dengan lebih mudah,''
katanya yang belum mempunyai rekod pertemuan dengan gandingan Halim dan Tony.
Halim-Tony mara ke separuh
akhir setelah menewaskan pasangan Korea, Yoo Yong Sung-Lee Dong Soo 15-12,
15-9, semalam. - Utusan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4beKM9QjS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan