ARKIB : 21/07/2001
Oleh NORZIE KHASBI
MALAYSIA masih meneruskan
cabaran ke separuh akhir apabila Ong Ewe Hock dan gandingan Chan Chong
Ming-Chew Choong Eng menyingkirkan lawan masing-masing pada suku akhir
Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.
Ewe Hock, juara Terbuka
Malaysia 1996 mara setelah menewaskan pemain muda China, Lin Dan 7-0, 8-6, 7-0
pada perlawanan yang hanya berlangsung selama 27 minit sementara Chong
Ming-Choon Eng mengetepikan pasangan Hong Kong, Liu Kwok Wa-Albertus Susanto
Njato 7-2, 7-2, 4-7, 7-5 setelah beraksi selama 30 minit.
Laluan bagaimanapun semakin
sukar apabila pemain berusia 29 tahun itu dijadual bertemu juara Seluruh
England dan Terbuka Switzeland 2000, Xia Xuanze dari China sementara Chong
Ming-Choong Eng berdepan dengan beregu Indonesia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto
hari ini.
Candra-Sigit mara setelah
menyingkirkan gandingan Nathan Robertson-Anthony Clark dari England yang tewas
7-4, 4-7, 6-8, 3-7 sementara rakan sepasukannya, Tony Gunawan-Halim Haryanto
akan bertemu beregu Thailand, Promote Teerawiwatana-Tesana Panvivas yang menang
7-1, 7-1, 7-1 kepada Ma Che Kong-Yaw Kwun Yuen dari Hong Kong.
Dua beregu wanita negara,
Norashikin Amin-Lim Pek Siah dan Joanna Quay-Wong Miew Choo bagaimanpun
kecundang di suku akhir bersama-sama juara kejohanan dunia, Hendrawan yang
tewas mengejut kepada rakan sepasukan, Rony Agustinus pada kejohanan empat
bintang bernilai AS$120,000 (RM456,000) itu.
Kejayaan Rony yang menewaskan
Hendrawan 8-6, 7-2,7-3 untuk bertemu pilihan pertama, Chen Hong dari China
harus dilihat sebagai amaran awal kepada pemain negara bahawa peluang untuk
merangkul pingat emas acara perseorangan lelaki tidak mungkin mudah walaupun
Indonesia dikatakan akan menghantar barisan pemain muda di temasya itu.
Pada perlawanan semalam, juara
Terbuka Malaysia 1996 itu menang selesa 7-0 di set pertama sebelum Lin Dan, 19
cuba bangkit di set kedua untuk mendahului 6-4, tetapi gagal meneruskannya
apabila Ewe Hock kembali menguasai perlawanan untuk menyamakan kedudukan 6-6
sebelum menang 8-7.
Tempat ke separuh akhir menjadi
milik pemain berusia 29 tahun itu selepas 27 minit perlawanan dengan memenangi
set ketiga 7-0 bagi menempah pertemuan dengan juara Seluruh England dan Terbuka
Switzerland 2000, Xia Xuanze yang menewaskan Lee Hyun Il 7-4, 7-1, 7-4.
``Angin sedikit sebanyak
mempengaruhi permainan hari ini (semalam). Pada set pertama dan kedua, saya
berada di kedudukan menghadap angin membolehkan saya hanya menumpukan ke
bahagian depan gelanggang kerana angin akan membawa bulu tangkis yang dihantar
agak jauh keluar gelanggang,'' katanya yang merupakan pemain perseorangan
terakhir negara menjuarai kejohanan itu.
Ewe HocK bagaimanapun tidak
dapat meramalkan perlawanan hari ini kerana pertemuan terakhirnya dengan Xuanze
di Terbuka Jepun lebih memihak kepada pemain China itu.
Sementara itu ketua jurulatih
negara, Park Jo-bong berkata, Chong Ming-Chew Eng harus merubah sikap suka
mudah puas hati selepas mendahului apabila menentang Chandra-Sigit hari ini.
``Pada dua set pertama mereka
bermain baik, tetapi melakukan beberapa kesilapan mudah pada set berikutnya dan
tidak bermain dengan serius,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bhW2RwpH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan