ARKIB : 31/05/2001
SEVILLE, Sepanyol - Malaysia
semakin sukar untuk merebut juara kumpulan apabila mereka dikalahkan 3-2 oleh
pasukan Jerman dalam perlawanan kedua Piala Sudirman di Stadium Sukan San
Pablo, kelmarin.
Beregu campuran Chew Choon Eng
dan Lim Pek Siah, yang bermain cemerlang dan penuh yakin pada perlawanan
pembukaan Malaysia menentang Ukraine 4-1 pada Isnin, gagal merebut mata
kemenangan apabila mereka kalah kepada pasangan nombor 13 dunia Bjoern Siegemund-Nicol
Pitro 4-15, 12-15.
Choon Eng-Pek Siah dilihat
goyah pada set permulaan dan tewas mudah 4-15 tetapi bersungguh-sungguh
kemudiannya untuk memaksa bermain rubber set apabila mereka mendahului 10-5 dan
11-8 dalam set kedua. Bagaimanapun kurang tumpuan pada penghujung perlawanan
menyaksikan mereka tewas 12-15 dalam perlawanan yang mengambil masa 41 minit.
Pasukan negara juga mempunyai
peluang untuk mencuri mata daripada pemain Jerman dalam pertemuan antara
pasangan pertama wanita Ang Li Peng-Wong Pei Tty menentang Nicole
Grether-Pitro. Mereka dibelasah 4-15 oleh beregu Jerman pada set pertama tetapi
berjaya bangkit dengan keputusan yang sama dalam set kedua untuk bermain set
penentuan.
Pada set penentuan,
Grether-Pitro mendahului 6-1 apabila Li Peng membuat kesilapan demi kesilapan
memukul bola keluar dan memberikan mata mudah kepada pasangan lawan. Mereka
kembali tenang untuk menyamakan kedudukan enam sama dan kemudian mendahului
10-8, tetapi sekali lagi membuat pelbagai kesilapan yang memberikan beregu
Jerman enam mata berturut-turut daripada dua servis untuk memenangi perlawanan
15-10.
Pemain nombor dua Malaysia Ong
Ewe Hock tidak menghadapi kesukaran untuk mengutip mata penyamaan 1-1 apabila
menyingkirkan Jens Roch 15-7, 15-6 dalam hanya 23 minit tetapi pemain Jerman
berada di depan sekali lagi apabila Petra Overzier mengalahkan Ng Mee Fen 11-5,
13-10 dalam masa 33 minit.
Pasangan utama Choong Tan
Fook-Lee Wan Wah menjadikan kedudukan 2-2 dengan kemenangan 15-7, 15-6
mengatasi Kristof Hopp-Joachim Tesche untuk meletakkan harapan pasukan negara
terhadap beregu campuran, tetapi tidak kesampaian.
Dengan keputusan itu, Malaysia
akan mempunyai peluang mengikut pengiraan mata untuk menjadi juara kumpulan
serta mencapai sasaran mereka dinaikkan ke dalam Kumpulan Pertama.
``Kami telah menjangkakan pada
awalnya bahawa pertemuan ini akan menghasilkan kemenangan 3-2 atau kalah 2-3.
Tetapi sebenarnya kita boleh mencuri mata sama ada dalam beregu wanita atau
campuran kerana pemain Jerman tidaklah bermain begitu baik,'' kata ketua
jurulatih Malaysia Park Joo-bong selepas perlawanan tamat.
Katanya apabila kedudukan
terikat 2-2 dan kemenangan perlu ditentukan dalam perlawanan terakhir, Choon
Eng-Pek Siah, merasa tertekan untuk memberikan mata kemenangan.
Park berkata Malaysia akan
menghadapi kesukaran menentang Jepun dalam perlawanan terakhir kumpulan esok
tetapi beliau mengharapkan kemenangan 3-2 kerana tidak menaruh harapan kepada
pemain perseorangan dan beregu wanita.
``Pemain wanita Jepun amat kuat
berbanding kita. Kita mengharapkan kemenangan dalam pemain perseorangan dan
beregu lelaki serta beregu campuran yang begitu penting,'' katanya.
Jika Jerman mengalahkan Ukraine
5-0 dan Malaysia menewaskan Jepun 3-2, harapan Jepun dan Malaysia akan berkecai
kerana pasukan Jerman akan menjuarai kumpulan. Tetapi jika Jerman menewaskan
Ukraine 4-1 dan Malaysia mengatasi Jepun 3-2, juara akan ditentukan melalui
kiraan balik antara Jerman, Malaysia dan Jepun.
Jika Jepun mengalahkan
Malaysia, mereka akan muncul juara kumpulan, Jika Jerman pula mengatasi Ukraine
3-2, kiraan balik akan ditentukan antara Malaysia dan Jepun.
Park berkata Wong Choong Hann,
yang menentang Ukraine, akan diturunkan dalam perlawanan esok bagaimanapun
beliau belum lagi memutuskan sama ada Chan Chong Ming akan berpasangan dengan
Pek Siah sekali lagi.
Chong Ming, yang sakit belakang
dua hari lepas akan menjalani pemeriksaan terakhir sebelum perlawanan itu.-
Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bdxfYFmk
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan