Sabtu, 18 Mac 2017

Tahniah Ewe Hock


 

ARKIB : 23/07/2001
Ong Ewe Hock.

PEMAIN veteran negara, Ong Ewe Hock hampir menggantung raket kerana menyangka karier badmintonnya sudah berakhir selepas mengharungi lima tahun tanpa sebarang gelaran.

Kali terakhir pemain veteran itu menjuarai Terbuka Malaysia ialah pada tahun 1996.

Bagaimanapun pemain berusia 29 tahun itu menarik semula hasratnya semalam, selepas kemarau lima tahun tanpa gelaran akhirnya ditamatkan pada Terbuka Malaysia selepas dia menewaskan pemain Indonesia, Rony Agustinus 3-7, 7-2, 7-0, 6-8, 7-1 pada perlawanan akhir di Stadium Malawati.

Wartawan NORZIE KHASBIE mendapatkan pandangan Ewe Hock selepas muncul juara Terbuka Malaysia, semalam.

UTUSAN: Tahniah, anda hebat dan muncul juara Terbuka Malaysia, selepas lima tahun tidak mendapat gelaran.

ONG EWE HOCK: Terima kasih.

UTUSAN: Apa perasaan anda apabila kembali bergelar juara selepas lima tahun tanpa sebarang gelaran?

ONG EWE HOCK: Antara percaya dan tidak. Saya rasa seperti bermimpi dan ini adalah saat yang amat menggembirakan dan mengembalikan keyakinan saya bahawa karier saya belum berakhir.

UTUSAN: Apakah yang anda fikir mendorong kepada kejayaan?

EWE HOCK: Saya mengaku saya adalah pemain yang agak emosional dan mudah tertekan, tetapi sekarang saya mampu mengawal diri dengan lebih baik dan ia menyebabkan saya lebih tenang setiap kali berdepan permainan genting.

UTUSAN: Adakah kehadiran Indra Gunawan (penasihat badminton kebangsaan) banyak membantu perubahan anda?

EWE HOCK: Ya. Dia adalah jurulatih yang tegas dan dia adalah orang utama yang sering mengingatkan saya supaya serius dalam setiap permainan. Saya berterima kasih kepadanya dan saya percaya jika saya dapat terus mengawal perasaan, sesuatu yang lebih baik akan menanti.

UTUSAN: Selepas kejayaan Terbuka Malaysia, apakah sasaran anda tahun ini?

EWE HOCK: Sudah tentu Sukan SEA dan Grand Prix Dunia Akhir di Brunei. Tetapi laluan tidak semudah di Terbuka Malaysia kerana lebih ramai pemain terbaik dunia seperti Peter Gade-Christensen, Taufik Hidayat dan Ji Xinpeng akan hadir. Apa pun saya sentiasa percaya apa saja boleh berlaku dalam badminton.

UTUSAN: Adakah anda percaya sistem tujuh mata yang baru diperkenalkan pada kejohanan ini memberi anda kelebihan?

EWE HOCK: Sistem baru tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pemain, sebaliknya ia menjadikan kejohanan amat terbuka kerana kebanyakan pemain belum berjaya menyesuaikan diri dengannya. Saya tidak nampak format yang manakah lebih sesuai dengan saya kerana ini adalah kali pertama saya menggunakannya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bha8L9GQ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan