Sabtu, 18 Mac 2017

Ewe Hock, Rony tentukan juara

ARKIB : 22/07/2001
PEMAIN perseorangan negara, Ong Ewe Hock mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas menewaskan Xia Xuanze dari China pada perlawanan separuh akhir di Stadium Malawati, semalam.

Ewe Hock, 29, yang menjuarai kejohanan ini pada 1996 akan bertemu Rony Agustinus dari Indonesia dalam perlawanan akhir hari ini selepas dia menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney itu dengan 3-7, 7-0, 5-7, 7-5, 7-3 dalam masa 72 minit.

Ewe Hock muncul wakil tunggal negara meneruskan cabaran ke perlawanan akhir selepas gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng disekat oleh pasangan Indonesia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto yang menang 7-1,7-1,7-2 dalam masa 15 minit.

Ewe Hock, pemain ranking kelapan dunia yang mara setelah menyingkirkan Lin Dan dari China pada suku akhir kelmarin hampir mengecewakan kira-kira 2,000 yang hadir apabila tumpas 3-7 kepada Xuenze di perlawanan set pertama.

Pemain yang belum pernah meraih sebarang kejuaraan sejak menjuarai Terbuka Malaysia 1996 itu bagaimanapun bangkit memenangi set kedua 7-0 tetapi tewas 5-7 pada set ketiga, pada permainan yang turut dipengaruhi dengan keadaan angin di stadium tersebut.

Berbekalkan nasihat jurulatih, Indra Gunawan agar merendahkan pukulan servisnya, Ewe Hock kembali bangkit pada set keempat untuk menang 7-5 walaupun ketinggalan 1-5 sebelum mengutip enam mata berturut-turut bagi memaksa keputusan pertandingan ditentukan di set kelima.

Kemenangan semakin menghampiri pemain kelahiran Pulau Pinang itu apabila mendahului 5-1 sebelum memastikan tiket ke akhir menjadi miliknya dengan kemenangan 7-3 di set terakhir itu setelah beraksi selama 72 minit.

Rony, 23, yang menjadi lawan Ewe Hock pada perlawanan akhir pula menewaskan pemain pilihan pertama kejohanan, Chen Hong dari China 7-3, 5-7, 7-4, 7-2 dalam masa 39 minit.

Sementara itu, Indra yang merupakan penasihat badminton negara mengakui perlawanan akhir bukan mudah walaupun Rony masih kurang pengalaman berbanding Ewe Hock.

``Rony bermain begitu baik pada kejohanan ini. Saya berharap Ewe Hock dapat menggunakan pengalamnnya untuk mengatasi Rony kerana pemain ini mempunyai sedikit kelebihan dari segi ketinggian yang kepantasan membuat hantaran,'' katanya.

Kejuaraan acara beregu lelaki sudah menjadi milik Indonesia berikutan pertemuan rakan senegara, Tony Gunawan-Halim Haryanto yang menewaskan pasangan Thailand, Pramote Teerawiwatana-Tesana Panvisvas 7-2, 3-7, 7-1, 7-1 dengan Candra-Sigit.

Seperti biasa, China menguasai acara perseorangan dan beregu wanita dengan pilihan pertama kejohanan, Zhou Mi berpeluang menebus kekalahannya kepada Gong Ruina pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia di Seville, Sepanyol bulan lepas.

Gao Ling-Huang Sui pula akan berdepan dengan Huang Nanyang-Yang Wei hari ini sementara pasangan Indonesia, Bambang Suprianto-Emma Esmawati akan berdepan dengan pasangan China, Liu Yong-Zhang Jiewen untuk penentuan gelaran beregu campuran.

Terbuka Malaysia, pertandingan empat bintang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$120,000 (RM456,000).
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bhYhYcCL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan