Khamis, 16 Mac 2017

Kay Bin kejutkan Boesen



ARKIB : 16/03/2001
BASEL, Switzerland - Pemain muda negara, Yeoh Kay Bin mencatat kejutan pertama pada kejohanan badminton Terbuka Switzerland apabila menundukkan pilihan keenam, Anders Boesen dari Denmark di pusingan kedua, semalam.

Kay Bin hanya memerlukan tiga set 7-3, 7-5, 7-5 untuk menyingkirkan Boesen, dan menempah pertemuan dengan pemain tuan rumah, Dwi Aryanto pada pusingan ketiga.

Kejohanan yang menawarkan AS$120,000 (RM456,000) itu turut menyaksikan pencapaian terbaik Muhammad Hafiz Hashim yang menewaskan bekas naib juara dunia, Fung Permadi dari Taiwan.

Selepas menang mudah 7-1 pada set pertama, Hafiz mula diberi tentangan pada tiga set berikutnya tetapi berupaya untuk meneruskan kemaraan dengan 7-5, 6-8, 8-7.

Terdahulu abangnya dan pilihan kedua, Roslin Hashim tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan pemain Singapura, Ronald Susilo 8-7, 7-2, 7-4.

Turut meneruskan cabaran negara adalah pemain pasukan pelapis, Lee Tsuen Seng yang mengetepikan Shon Seung Mo dari Korea Selatan 5-7, 2-7, 7-4, 8-6, 7-3.

Kemaraan empat perseorangan negara itu bagaimanapun gagal dituruti Ismail Saman dan James Chua yang kandas pada pusingan kedua.

Ismail memberikan tentangan sengit kepada pilihan utama, Taufik Hidayat dari Indonesia dengan mencuri dua set tetapi kalah 4-7, 7-5, 4-7, 7-0, 7-5.

James dipaksa bekerja-keras menentang pemain Sweden, Daniel Eriksson sebelum terpaksa akur dengan kekalahan 7-5, 2-7, 7-0, 1-7, 6-8.

Dalam pusingan ketiga hari ini, Hafiz bakal menghadapi saingan getir apabila bertemu pilihan ketiga dari Indonesia, Marleve Mainaky.

Tsuen Seng pula mempunyai peluang seimbang apabila berdepan Eriksson, manakala Roslin dijangka tidak berdepan masalah bertemu Shinya Ohtsuka dari Jepun.

Sementara itu dalam beregu lelaki, pasangan tunggal negara, Chew Choon Eng-Chan Chong Ming turut meneruskan kemaraan selepas menewaskan Ma Che Kong-Yau Kwun Yuen dari Hong Kong 7-1, 6-8, 7-1, 3-7, 7-3.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bUSxAwki
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan