Khamis, 16 Mac 2017

Roslin mara ke suku akhir



ARKIB : 10/03/2001
BIRMINGHAM - Roslin Hashim muncul perseorangan tunggal negara meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Seluruh England semalam, apabila melayakkan diri ke suku akhir.

Bagaimanapun hasrat seorang lagi pemain negara, Ramesh Nathan untuk meneruskan kejutan tidak kesampaian, apabila kandas pada pusingan ketiga.

Perseorangan utama negara, Roslin masih belum berdepan cabaran sebenar apabila dia terus menerima laluan mudah ketika berdepan pemain Sweden, Rasmus Wengberg.

Selepas melepasi pusingan kedua dengan mudah kelmarin, pemain pilihan keenam itu sekali lagi hanya memerlukan straight set 15-6, 15-1 untuk mengetepikan Wengberg.

Bagaimanapun, kemampuan sebenar pemain Nusa Mahsuri itu akan teruji pada suku akhir hari ini, apabila dia bertemu penyandang juara dan pilihan kedua, Xia Xuanze dari China.

Xuanze tidak perlu mengerah tenaga yang banyak untuk menyingkirkan pemain pilihan dari Indonesia, Budi Santoso 15-4, 15-5.

Sementara itu, Ramesh yang mengejutkan pilihan ke-16, Lee Hyun-il dari Korea Selatan pada pusingan kedua, terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kelima, Kenneth Jonassen dari Denmark.

Ramesh, yang membuat penampilan sulung pada Kejohanan Seluruh England tunduk 15-6, 15-8.

Kejohanan semalam turut menyaksikan beberapa kejutan membabitkan pemain pilihan dengan juara dan naib juara Olimpik, Ji Xinpeng serta Hendrawan terkeluar daripada persaingan.

Xinpeng, pilihan ketiga dari China kalah 15-3, 15-9 di tangan pemain berbakat dari India, Pullela Gopichand.

Pilihan keempat, Hendrawan dari Indonesia pula tewas 15-13, 15-3 kepada bekas juara Asia, Chen Hong juga dari China.

Turut mengalami kekalahan mengejut adalah naib juara dua kejohanan sebelumnya dan bintang kontroversi Indonesia, Taufik Hidayat yang tewas 15-13, 15-10 kepada pemain Denmark, Anders Boesen.

Sementara itu pasangan beregu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah turut mara ke suku akhir acara beregu selepas menang 15-12, 15-6 ke atas Liu Kok Wa-Albertus Susanto dari China. Mereka akan menentang Jim Laugesen-Michael Soogard dari Denmark.

Pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark dikejutkan apabila ketinggalan 8-0 dalam set pertama, tetapi bangkit untuk menumpaskan pemain muda Indonesia, Rony Agustinas 17-14, 15-10. - Reuters

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bU9FRFfW© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan