Jumaat, 17 Mac 2017

Pasangan Chong Ming-Choon Eng tersingkir

ARKIB : 10/06/2001
SEVILLE, Sepanyol - Pasangan Malaysia, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng mengakhiri cabaran setelah tewas kepada Tony Gunawan-Halim Haryanto pada separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Stadium San Pablo di sini semalam.

Beregu kedua negara itu menguasai permainan set pertama disamping memperoleh mata daripada beberapa kesilapan lawan yang menghadapi masalah bermain di jaring untuk menang 15-12 dalam masa 19 minit setelah mendahului agak selesa 11-6 dan 14-10.

Pasangan Indonesia yang baru digandingkan selepas Sukan Olimpik Sydney tahun lalu itu, bagaimanapun bangkit pada set kedua dengan mendahului 6-0 sebelum menang 15-5.

Peluang kelihatan terbuka bagi beregu negara untuk mara ke akhir apabila mendahului set ketiga dengan 9-3 tetapi pertukaran gelanggang menyaksikan mereka melakukan kesilapan bagi memberi laluan kepada beregu Indonesia itu mendahului 11-9 sebelum memastikan tiket ke perlawanan akhir menjadi milik mereka dengan kemenangan 15-13.

Peter Gade Christensen mengesahkan tempat ke akhir setelah menumpaskan Chen Hong dari China 17-14, 15-2, semalam, kemenangan keempat pemain Denmark itu dengan pertemuan terakhir sebelum ini di separuh akhir Piala Sudirman minggu lepas.

Dalam perlawanan lain, China sudah pasti menyapu bersih kesemua tiga pingat yang ditawarkan dalam acara perseorangan wanita setelah empat pemainnya mara ke separuh akhir kelmarin.

Gong Ruina yang menewaskan Gong Zhichao 13-10, 11-4 dan Zhou Mi yang menyingkirkan Zhang Ning dengan kemenangan 11-5, 11-9 bagaimanapun akan bertarung di perlawanan akhir hari ini bagi menentukan kejuaraan.

Sementara itu, bekas juara, Kim Dong Moon-Ra Kyung Ming dari Korea gagal mempertahankan kejuaraan mereka setelah tewas 10-15, 15-12, 16-16 kepada pemenang pingat emas acara beregu campuran Sukan Olimpik, Zhang Jun-Gao Ling dari China di perlawanan akhir. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4beNDwHUI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan