Sabtu, 18 Mac 2017

Roslin ke separuh akhir


 

ARKIB : 11/08/2001
Ong Ewe Hock terbaring kecewa selepas tunduk straight-set 5-7, 2-7, 3-7 kepada pilihan kedua, Chen Hong dari China dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pada Grand Prix Badminton Dunia di Brunei, semalam. - Gambar Reuters.

Daripada NORZIE MOHD. KHASBI
BANDAR SERI BEGAWAN - Roslin Hashim muncul pemain tunggal negara melangkah ke separuh akhir Grand Prix Badminton Dunia 2000 selepas menundukkan juara dunia, Hendrawan 7-1, 5-7, 8-6, 7-0 di Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah, semalam, sekali gus menjuarai kumpulan B.

Hasrat Ong Ewe Hock untuk melayakkan diri buat kali kedua bagaimanapun tidak kesampaian apabila tunduk straight-set 5-7, 2-7, 3-7 kepada pemain nombor satu dunia dan pilihan kedua, Chen Hong dari China dalam perlawanan terakhir Kumpulan D.

Roslin, 26, bukan saja melakar pencapaian peribadi terbaik dengan layak ke separuh akhir buat kali pertama, malah mencatat kemenangan sulung ke atas pemain veteran Indonesia itu selepas dua pertemuan terdahulu berpihak kepada Hendrawan - separuh akhir Terbuka Jepun 2000 dan suku akhir Sukan Asia 1998.

Pemain pilihan ketiga itu bagaimanapun bakal berdepan tugas sukar, bertemu juara Seluruh England 2000, Xia Xuanze dari China yang menjuarai kumpulan A di separuh akhir.

``Saya mesti menang set pembukaan. Kalau kalah, memang saya mengundang masalah kerana pemain attacking (menyerang) sepertinya sentiasa memberi tekanan kepada lawan,'' katanya lagi.

Sementara itu juara Sukan Komanwel, Wong Choong Hann meraih kemenangan pertama dengan menumpaskan pemain Indonesia, Budi Santoso 7-2, 7-1, 7-2 untuk muncul naib juara kumpulan, sekali gus melayakkannya menerima AS$3,000 (RM11,400). - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bi4hZPsT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan