ARKIB : 26/07/2004
APALAH nasib yang menimpa pemain perseorangan utama negara, Wong Choong Hann apabila bakal dijadikan `kambing hitam' dalam acara badminton Sukan Olimpik 2004 di Athens, bulan depan.
Bunyinya mungkin seperti satu penghinaan tetapi itu hanyalah congakan strategi jurulatih, Misbun Sidek dalam usaha kontinjen negara `mencuri' pingat di temasya sukan terbesar di dunia itu nanti.
Bukan tidak yakin dengan kemampuan Choong Hann tetapi sebagai pemain pilihan ketiga, tumpuan dan tekanan sudah pasti menjadikan tugas yang dipikul satu bebanan besar buatnya.
Sehubungan itu, Misbun bercadang ingin mengambil kesempatan ke atas tumpuan lawan kepada Choong Hann dengan menjadikan Lee Chong Wei sebagai `kuda hitam'.
``Untuk mengalih tekanan tinggi yang diletakkan di bahu Choong Hann, kita perlu melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
``Saya percaya sebagai pemain bukan pilihan, Chong Wei tidak begitu tertekan dan berdasarkan kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia, dia boleh melakukan kejutan.
``Tujuan saya, dalam lawan sibuk memberikan tumpuan kepada Choong Hann, Chong Wei boleh menyinar ikut pintu belakang,'' katanya.
Misbun mungkin merujuk kepada kejayaan Mohammad Hafiz Hashim yang berjaya muncul juara Seluruh England 2003 ketika dia langsung tidak diletakkan harapan.
Kali terakhir pemain perseorangan negara memenangi pingat Olimpik ialah menerusi Rashid Sidek yang meraih gangsa pada Olimpik 1996 di Atlanta.
Misbun berkata, Chong Wei adalah pertaruhan terbaik negara selain Choong Hann dan mungkin Roslin Hashim juga boleh melakukan kejutan yang sama.
Ketiga-tiga pemain perseorangan itu adalah antara sembilan pemain badminton negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik, bulan depan.
Selain mereka, cabaran negara diletakkan di bahu dua pasangan beregu lelaki negara iaitu Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng serta satu beregu wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.
Sementara itu, Misbun berkata, undian pemain yang akan dikeluarkan pada 8 Ogos nanti akan menentukan sama ada pemain negara boleh pergi lebih jauh.
Bagaimanapun siapa juga lawan yang bakal dihadapi, beliau tidak fikir akan memberi tekanan buat Chong Wei dan Roslin kecuali Choong Hann.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan