ARKIB : 16/08/2003
PEMAIN perseorangan negara, Wong
Choong Hann bermesra dengan pemenang pertandingan badminton remaja anjuran
Institut Help selepas menyampaikan hadiah di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar
HANAFI KHAMIS.
NAIB juara dunia, Wong Choong
Hann mengakui laluannya pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura dari 19
hingga 24 Ogos ini cukup sukar biar pun memasang impian besar untuk bertemu
semula dan menebus kekalahannya kepada pemain China, Xia Xuanze pada kejohanan
dunia di Birmingham baru-baru ini.
Choong Hann, 26, yang diletakkan
sebagai pilihan keempat pada kejohanan itu berkata, ini kerana menantinya
adalah dua lagi pemain handalan China, Bao Chunlai dan Chen Hong.
Malah beliau menganggap, undian
yang diterimanya pada Terbuka Singapura ini lebih sukar berbanding kejohanan
dunia yang lalu.
``Sebelum saya boleh memenuhi
impian bertemu semula dengan Xia, saya kena lepasi halangan dua lagi rakannya
lebih dulu.
``Oleh itu, saya tidak mahu bercakap
banyak mengenai pertemuan dengan Xia. Sebaiknya ialah memberi tumpuan kepada
satu demi satu pencabar yang akan saya hadapi,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan
badminton remaja anjuran Institut Help di Kuala Lumpur, semalam.
Sehubungan itu katanya, beliau
hanya akan memikirkan pertemuan dengan Xia dan bagaimana untuk menjinakkannya
apabila semua halangan itu berjaya diatasi.
``Ramai yang berharap saya dapat
membalas dendam kekalahan kepada Xia. Saya pun begitu kerana dalam lapan
pertemuan dengannya sebelum ini, saya belum pernah menang.
``Kemenangan sulung ke atasnya
akan memberi kesan psikologi yang positif dan ini amat penting buat saya,''
jelasnya.
Mengenai ketiadaan Xia pada
perlawanan persahabatan di Alor Star, Sabtu ini, Choong Hann menjelaskan, ia
tidak begitu penting.
``Lebih baik saya bertemunya
dalam kejohanan sebenar kerana menang dalam perlawanan persahabatan tidak
membawa makna yang besar.
``Dia mungkin tidak akan bermain
sepenuh hati. Jadi ada baiknya juga, dia tidak bermain,'' ujarnya.
Choong Hann akan memulakan
cabaran pada Terbuka Singapura dengan bertemu pemain Jepun, Sato Shoji di
pusingan pertama dan dijangka bertemu Chunlai di pusingan ketiga.
Jika berjaya, Choong Hann akan
bertemu pilihan pertama, Chen Hong di separuh akhir dan hanya akan bertemu Xia
yang diletakkan sebagai pilihan ketiga pada perlawanan akhir jika juara dunia
itu layak.
Turut berada dalam laluan Choong
Hann ialah pemain tuan rumah dan pilihan keenam, Ronald Susilo, pilihan kelima,
Anders Boesen dari Denmark dan juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim yang
tidak diletakkan sebagai pilihan kali ini.
Manakala dalam satu lagi laluan
mengandungi pemain pilihan kedua dari Denmark, Kenneth Johannsen, Xia, pilihan
ke-16, Roslin Hashim dan pilihan kesembilan, Ng Wei dari Hong Kong.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dHIMUIV2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan