ARKIB : 06/11/2000
JAKARTA - Pasangan beregu
negara, Choong Tan Fook/Lee Wan Wah gagal menjarai Kejohanan Badminton Asia di
Stadium Tertutup Istora Senayan, Jakarta apabila tunduk kepada pasangan
Indonesia, Rexy Mainaky/Tony Gunawan di perlawanan akhir, semalam.
Tan Fook/Wan Wah tewas straight
set 8-15, 9-15 kepada pasangan Indonesia yang baru digabungkan itu dalam masa
40 minit.
Berbanding kejayaan mereka
menumpaskan pasangan Candra Wijaya/Antonius di peringkat separuh akhir, Tan
Fook/Wan Wah ternyata tidak bermaya.
Kegagalan itu memusnahkan
impian beregu negara untuk mengulangi sejarah kejayaan Cheah Soon Kit/Yap Kim
Hock yang menenangi pertandingan itu pada tahun 1995.
Manakala bagi Rexy, kemenangan
itu sudah tentu menjadi hadiah istimewa kepadanya yang akan meninggalkan skuad
Indonesia untuk berhijrah ke England, tahun depan.
Rexy yang sebelum ini
bergandingan dengan Ricky Subadja akan menjadi jurulatih pasukan badminton
negara tersebut.
Dalam perlawanan semalam, Tan
Fook/Wan Wah sering melakukan kesilapan dan terlalu gopoh untuk mematikan bulu
tangkis sehingga menyebabkan ia tersangkut di jaring atau terkeluar dari
gelanggang.
Kedua-dua pemain itu juga
sering tidak sefahaman dalam menjaga bahagian belakang sehingga membolehkan ia
dijadikan 'lubuk' untuk Rexy/Tony memungut mata.
Pada set pertama, kesilapan
yang dilakukan oleh beregu negara menyebabkan pada satu ketika mereka
ketinggalan 1-6.
Namun mereka dapat merampas
servis bagi mengutip mata demi mata terikat 6-6.
Bagaimanapun mereka banyak
melakukan kesilapan sehingga Rexy/Tony mendahului 10-6.
Tan Fook/Wan Wah bangkit
merampas servis untuk mengutip dua mata, sebelum pasangan Indonesia itu
meneruskan kemaraan untuk mencipta keputusan 15-8.
Pada set kedua, beregu negara
bermain agak berhati-hati tetapi masih goyah hingga bulu tangkis sering
terperangkap pada jaring.
Semasa kedudukan 6-13, Tan
Fook/Wan Wah bangkit dan hanya mengutip tiga mata tambahan sebelum Rexy/Tony
merampas servis dan menamatkan perlawanan dengan 15-9.
Dengan kemenangan itu Rexy/Tony
menerima wang tunai AS$13,000 (RM49,400) manakala Tan Fook/Wan Wah menerima
AS$8,500 (RM32,300).
Sementara itu, seperti janji
Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) mereka akan menjuarai tiga
gelaran terbukti hari ini selepas pemain perseorangnya, Taufik Hidayat muncul
juara menewaskan rakan senegara, Rony Agustinus, 14-17, 15-2, 15-3.
Pada dua set permainan, Rony
kehilangan rentak selepas pemain berpengalaman itu menggunakan corak pantas
untuk mencuri mata.
Pada set ketiga, Rony
ketinggalan 0-12 sebelum mengutip tiga mata yang berkesudahan 3-15, dengan
kemenangan kepada Taufik.
Dengan kemenangan itu Taufik
meraih hadiah wang tunai AS$11,000 (RM41,800) manakala Rony mendapat AS$7,500
(RM28,500).
Bagaimanapun pemain
perseorangan wanita Indonesia, Ellen Angelina tewas kepada pemain China, Xie
Xingfang, 11/2, 7/11,3/11.
Xie Xingfang membawa pulang
AS$7,500 (RM28,500) manakala Ellen mendapat AS$4,700 (RM17,860).
Bagi acara beregu wanita,
pasangan Lee Hyo Jung/Yim Kyung Jin menumpaskan Etty Tanri/Minarti Timur dari
Indonesia 15-8,15-13 untuk meraih wang tunai AS$7,500 (RM28,500), manakala
Etty/Minarti menerima AS$2,500 (RM9,500).
Dalam pada itu, Indonesia terus
menguasai beregu campuran apabila pasangan Bambang Suprianto/Minarti Timur
menang mudah menewaskan rakan senegara, Wahyu Agung/Emma Ermawati dengan
straight set 15-10,15-12. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b67WPlbU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan