Sabtu, 11 Mac 2017

Roslin ke pusingan ketiga

ARKIB : 27/10/2000
COPENHAGEN, Denmark - Harapan wakil tunggal Malaysia, Roslin Hashim untuk layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark semakin cerah apabila mara ke pusingan ketiga di Forum Hall, kelmarin.

Laluan pemain negara itu kian mudah apabila lawan yang dijangka ditemuinya di suku akhir, Poul-Erik Hoyer-Larsen kandas mengejut pada pusingan kedua.

Roslin, pilihan ke-10 pada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM950,000) itu dipaksa bekerja keras sebelum menang straight-set 15-9, 15-10 ke atas pemain tuan rumah, Kasper Oedum.

Kemenangan tersebut akan menemukannya dengan pemain bukan pilihan dari China, Cai Yun yang mengetepikan Yudi Suprayogi dari Indonesia 15-12, 15-3.

Jaguh veteran Denmark dan penyandang juara, Hoyer-Larsen dikejutkan dengan kekalahan 15-11, 8-15, 15-6 kepada pemain tidak ternama China, Xiao Hui.

Dengan ketiadaan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 1996 itu, Roslin dijangka bertemu sama ada Rasmus Wengberg dari Sweden atau pemain Wales, Richard Vaughan di suku akhir.

Dalam perlawanan pusingan pertama Rabu lalu, perseorangan Nusa Mahsuri itu mudah melepasi pusingan pertama mengetepikan Bobby Milroy dari Kanada 15-4, 15-1.

Kejohanan Terbuka Denmark merupakan percubaan Roslin untuk menamatkan kemarau dua tahun tanpa gelaran selepas gagal meraih kejuaraan Terbuka Belanda, minggu lalu.

Roslin, 25, tewas 11-15, 17-15, 7-15 kepada pemain China, Chen Hong dalam perlawanan akhir.

Pemain nombor satu dan dua dunia, Hendrawan dari Indonesia dan Peter Gade-Christensen dari Denmark turut melepasi halangan masing-masing untuk mara ke pusingan ketiga.

Pemenang pingat perak Olimpik, Hendrawan menewaskan Per-Henrik Croona dari Sweden 15-8, 15-14, manakala Peter Gade menang 15-5, 15-9 ke atas Henrik Kryger.

Sementara itu, pasangan nombor dua dunia, Eng Hian-Flandi Limpele dari Indonesia tidak menghadapi masalah melepasi pusingan kedua mengetepikan Jan Frohlich-Petr Martinec dari Republik Czech 15-0, 15-5 dalam beregu lelaki.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4b5kvbONN

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan