Sabtu, 11 Mac 2017

Hasrat Roslin terkandas

ARKIB : 24/10/2000
DEN BOSCH - Hasrat Roslin Hashim untuk merangkul gelaran pertama selepas dua tahun tidak kesampaian apabila tunduk kepada Chen Hong dari China dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Belanda, kelmarin.

Pemain Nusa Mahsuri itu bagaimanapun memberi tentangan sengit sebelum tewas 11-15, 17-15, 7-15 kepada juara Gabungan Badminton Asia (AFC), Chen.

Roslin, yang memburu tempat pada Grand Prix Dunia Akhir di Brunei tahun depan, akan bertanding pada kejohanan enam bintang Terbuka Denmark yang bermula esok.

Indonesia menguasai beregu lelaki apabila pasangan Halim Maryanto-Sigit Budiarto menang 15-6, 15-7 ke atas Jim Laugesen-Michael Soegaard dari Denmark untuk muncul juara.

Sementara itu, tanpa beberapa pemain utamanya, China tetap menguasai perseorangan wanita apabila Zhou Mi mengetepikan rakan senegara, Gong Ruina untuk muncul juara 11-7, 9-11, 11-8.

Penguasaan China bagaimanapun disekat oleh Helene Kirkegard-Rikke Olsen dari Denmark yang mengetepikan Chen Lin-Jiang Xueian 15-6, 15-7.

Namun begitu, China memastikan tiga daripada lima gelaran Terbuka Belanda adalah milik mereka apabila menjuarai beregu campuran menerusi Chen Qiqiu-Chen Lin.

Penyandang juara itu dipaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 8-15, 15-12, 15-10 ke atas pasangan England, Simon Archer-Erica van den Heuvel. - AP

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1024&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4b5gXoZvl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan