Sabtu, 11 Mac 2017

Malaysia sahkan barisan gagah ke Jakarta

ARKIB : 18/10/2000
JAKARTA - Malaysia akan menurunkan barisan terkuatnya dalam Kejohanan Badminton Asia yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Senayan di Jakarta pada 31 Oktober hingga 5 November depan.

Ketika mengesahkan perkara itu kepada ZULKIFLEE BAKAR, Setiausaha Agung Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Leo Wiranata berkata, pemain Malaysia yang disahkan akan beraksi ialah Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock, Yong Hock Kin dan Jason Wong.

Dalam bahagian beregu, Malaysia menurunkan pasangan terkuatnya, Choong Tan Fook-Lee Wah Wah manakala Chan Chong Ming akan berpasangan dengan Rosman Razak setelah Chew Choon Eng terpaksa menarik diri kerana masih dihantui kecederaan.

Kejohanan Badminton Asia kali ini dianggap gelanggang bagi pemain Malaysia untuk memulihkan semula semangat mereka setelah gagal meraih sebarang pingat di Sukan Olimpik.

Leo berkata, pasukan Indonesia pula akan menurunkan pemain nombor satu dunia, Taufik Hidayat bersama-sama lima lagi pemain perseorangan negara itu seperti Marleve Mainaky, Rony Agustinus, Jeffer Rosobin, Yudi Suprayogi dan Arief Rasidi.

Selain itu, Indonesia juga akan menurunkan pasangan beregunya yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik Sydney baru-baru ini iaitu Chandra Wijaya dan Tony Gunawan.

''Bagaimanapun pasangan itu dipisahkan di mana Chandra akan berpasangan dengan Antonius Budi Arianto manakala Tony akan berganding dengan Rexy Mainaky.

''Tujuan kita memisahkan mereka bertujuan menggelakkan mereka mengalami tekanan psikologi jika kalah dalam kejohanan tersebut,'' katanya.

Bagi Rexy, ini merupakan kali terakhir dia mewakili Indonesia kerana selepas ini beliau akan berhijrah ke Britain untuk menjadi jurulatih bagi pasukan badminton negara tersebut.

Leo berkata, Indonesia juga turut memisahkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik bagi beregu campuran iaitu Tri Kusharyanto-Minarti Timur.

''Tri akan digabung dengan Indarti Issolina manakala Minarti dengan Bambang Supriato. Bagaimanapun kita berharap Tri dan Minanti akan bergabung semula pada Grand Prix 2000 di Brunei,'' katanya.

Beliau berkata, untuk pasukan lain, China telah pun mengesahkan akan menghantar seorang pemain terkuatnya iaitu Luo Yigang dan tiga pemain muda iaitu Chen Yu, Xian Li, Wu Yunyong serta pasangan Chen Yu-Wu Yunyong untuk beregu. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b5YJOGKU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan