ARKIB : 20/09/2000
SYDNEY 19 Sept - Malaysia meneruskan cabarannya untuk meraih pingat dalam
acara badminton apabila pemain perseorangan utama negara Wong Choong Hann mara
ke suku akhir pada Sukan Olimpik di sini hari ini.
Bagaimanapun, seorang lagi wakil Malaysia dalam acara perseorangan Ong Ewe
Hock tersingkir pada pusingan ketiga apabila tewas kepada pilihan pertama
Taufik Hidayat dari Indonesia.
Ketika skuad badminton memperkukuh lagi peluang untuk meraih pingat,
pasukan renang terus dirundung malang apabila Elvin Chia menamatkan perlumbaan
200m kuak dada lelaki di tempat ke-44 dengan masa 2 minit 26.84s, lebih 11 saat
perlahan daripada rekod kebangsaannya.
Rekod kebangsaan 2:15.62s dicipta Elvin pada Sukan SEA 1999 di Brunei.
Selepas perlumbaan itu, Elvin meninggalkan kolam renang dengan tergesa-gesa
sebelum wartawan sempat menemubualnya.
Ketua jurulatih Lewin Lim juga gagal menemuinya di tempat pertandingan dan
tidak dapat memberikan penjelasan mengenai persembahan hambar Elvin.
Ketika ditemui beberapa jam kemudian Elvin berkata beliau mengalami
kekejangan pada bahagian biseps semasa perlumbaan itu.
Allen Ong, seorang lagi perenang Malaysia yang beraksi hari ini,
mencatatkan masa 51.93s dalam acara 100m gaya bebas lelaki untuk menamatkan
perlumbaan di tempat ke-40. Beliau adalah pemegang rekod kebangsaan dengan masa
51.73s bagi acara itu.
Di gelanggang badminton pula, Choong Hann dengan mudah menundukkan Kenneth
Jonassen dari Denmark 15-6, 15-7 manakala Ewe Hock tewas kepada pemain utama
dunia Taufik 15-9, 13-15, 15-3 dalam masa satu jam tujuh minit.
Choong Hann akan bertemu juara Seluruh England Xia Xuanze dari China.
Choong Hann pasti menghadapi tugas berat kerana beliau tewas kepada pemain
China itu dalam tiga pertemuan mereka sebelum ini.
Sementara itu, pasukan hoki Malaysia mendapat berita sedih apabila pakar
pukulan sudut penalti S. Kuhan tidak dapat beraksi pada pertemuan dengan
Britain esok.
Kuhan dibenarkan keluar dari Hospital Concorde hari ini dengan jahitan di
bibir akibat kecederaan yang dialami pada perlawanan semalam dan jurulatih
Stephen Van Huizen tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya pada
perlawanan esok.
Stephen berkata ketiadaan Kuhan sudah pasti menjejaskan pasukan negara dan
beliau telah meminta pemain lain supaya menggandakan usaha pada perlawanan
menentang Britain itu.
Gimnas artistik Au Li Yen juga menjalani pembedahan di lutut kirinya.
Para pegawai Malaysia membenarkannya tinggal bersama-sama bapa saudaranya
selama satu minggu di Blue Mountains, dekat sini.
Esok, Choong Tan Fook/Lee Wan Wah akan bertemu pilihan kedua Lee Dong Soo
dan Yoo Yong Sung dari Korea Selatan pada perlawanan badminton separuh akhir
beregu lelaki. - Bernama
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b1H8Q9xp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan