ARKIB : 10/11/2000
NASIB lebih banyak menyebelahi
pemain perseorangan negara, Roslin Hashim ketika mengejutkan Taufik Hidayat
dari Indonesia untuk kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Kejohanan
Badminton Jemputan Ipoh Masters di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.
Roslin yang menang 15-9, 10-15,
15-10 jelas banyak dibantu kecederaan bahu yang dialami Taufik sehingga memaksa
juara Piala Asia itu banyak melakukan kesilapan sendiri.
Ini nyata membolehkan Roslin
memungut mata demi mata untuk menang perlawanan itu dalam masa 70 minit sekali
gus mencatat kemenangan keduanya ke atas Taufik daripada enam pertemuan mereka
sebelum ini.
Bagaimanapun, pujian perlu juga
diberikan kepada Roslin yang mempamerkan kesungguhan yang tinggi walaupun dari
segi pukulan, permainan jaring dan smash dilihat lebih memihak kepada Taufik.
Ini terbukti apabila pada satu
ketika di set pertama, Taufik mendahului 6-0 sebelum Roslin mengejar dari
belakang hasil kesilapan demi kesilapan lawannya dari Indonesia itu untuk
mengikat kedudukan 9-9.
Selepas itu, Roslin tidak
menoleh ke belakang lagi untuk menang 15-9. Namun di set kedua, Taufik cuba
bangkit dan berjaya membawa permainan ke set ketiga selepas menang 15-10.
Set penentuan, lebih sengit
apabila Roslin diasak hebat oleh Taufik dan ketinggalan 10-7 pada satu ketika.
Namun kecederaan lawan membolehkan Roslin memungut lapan mata untuk menamatkan
permainan dengan 15-10.
''Kecederaan lama ini saya
alami sebelum Piala Asia di Jakarta lagi dan ia bertambah teruk. Roslin bijak
menggunakan kesempatan itu menerusi kesungguhannya untuk menang,'' ujar Taufik.
Roslin yang tewas kepada pemain
India, P. Gopichand dalam perlawanan pertama kelmarin perlu menang ke atas
pemain Hong Kong, Haryanto Agus hari ini untuk layak ke separuh akhir, esok.
Sementara itu, seorang lagi
pemain negara, Wong Choon Hann memilih jalan sukar untuk ke separuh akhir
apabila tumpas kepada pemain Taiwan, Fung Permadi 15-13, 11-15, 13-15.
Selepas menang mudah ke atas
pemain Singapura, Indra Wijaya dalam perlawanan pertama kelmarin, kekalahan
Choon Hann, 23, semalam dilihat kerana terlalu ghairah untuk menang sedangkan
dia berdepan dengan pemain yang lebih berpengalaman daripadanya.
Fung Permadi, 33, nyata bijak
menggunakan pukulan-pukulan mengelirukan untuk membataskan kepantasan Choon
Hann yang 10 tahun lebih muda daripadanya.
Choon Hann akan berdepan dan
perlu menang ke atas Budi Santoso hari ini jika mahu layak ke separuh akhir.
Kelmarin, Budi berjaya menewaskan Fung Permadi.
Oleh: MOHD. TAUFEK RAZAK
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b6DOl1xL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan