Ahad, 12 Mac 2017

Roslin, Choong Hann terus mara

ARKIB : 11/11/2000
DUA pemain negara, Roslin Hashim dan Wong Choon Hann berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Jemputan Ipoh Masters, semalam.

Bagaimanapun mereka terpaksa bertemu sesama sendiri di separuh akhir selepas Choon Hann muncul juara Kumpulan B manakala Roslin muncul naib juara Kumpulan A.

Namun kejayaan menewaskan pemain Hong Kong, Haryanto Agus 16-17, 15-9, 15-8 dalam perlawanan penentuan dan terakhir Kumpulan A membolehkan Roslin mengenepikan Taufik Hidayat menerusi kiraan set untuk mara ke separuh akhir.

Walaupun diberi tentangan sengit oleh lawannya, Roslin banyak menggunakan pemainan stroke untuk memerangkap Haryanto dan ia ternyata berkesan.

Selepas tewas tipis 16-17 di set pertama, Roslin seperti kehilangan punca di awal set kedua apabila membiarkan Haryanto mendahului 6-0 pada satu ketika.

Bagaimanapun taktik yang sama digunakan ketika menewaskan Taufik kelmarin memberi kelebihan untuk Roslin mengejar dari belakang sebelum menang 15-9.

Set ketiga, saingan begitu rapat apabila kedua-dua pemain kejar mengejar mata tetapi kelebihan stamina membolehkan Roslin menamatkan permainan dengan 15-8.

Sementara itu, Choon Hann yang terpaksa berdepan keadaan yang sama berjaya menewaskan Budi Santoso 15-7, 15-9 dalam perlawanan penentuan Kumpulan B pula.

Choon Hann layak ke separuh akhir juga melalui kiraan set selepas Budi dan Fung Permadi, masing-masing mencatat dua kemenangan dalam Kumpulan B.

Oleh: MOHD. TAUFEK RAZAK

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4b6Eap77u © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan