RKIB : 12/11/2000
PEMAIN profesional naungan Nusa
Mahsuri, Roslin Hashim akan bertemu Budi Santoso dari Indonesia untuk
menentukan juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Jemputan Ipoh Masters
hari ini.
Roslin membuat kejutan lagi,
kali ini dengan menewaskan juara Sukan Komanwel dan pemain perseorangan utama
negara, Wong Choon Hann untuk menempah tempat ke perlawanan akhir dalam
perlawanan yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, semalam.
Pada perlawanan separuh akhir
itu, Roslin, 25, yang bermain atas tiket 'bidan terjun' bagi menggantikan
pemain Denmark, Peter Gade Christensen yang menarik diri sebelum ini, menang
permainan terus 15-4, 15-12.
Walaupun diberi tentangan
sengit rakan senegaranya itu, Roslin bijak menggunakan senjata permainan stroke
dan stamina untuk menjinakkan Choon Hann dalam masa 45 minit.
Set pertama menyaksikan Roslin
mudah mendahului 5-0 sebelum membenarkan Choon Hann memungut satu mata. Selepas
memungut tiga lagi mata, Roslin membiarkan Choon Hann mengejar hingga kedudukan
8-4. Dari situ, Roslin terus memungut mata demi mata untuk menamatkan
perlawanan 15-4. Namun set kedua menyaksikan Choon Hann cuba bangkit dalam
usahanya mengheret perlawanan ke set ketiga.
Roslin pada mulanya ketinggalan
2-4 tetapi bagai mendapat semangat baru, pemain Nusa Mahsuri itu tidak menoleh
ke belakang lagi untuk terus mendahului 14-4.
Bagaimanapun Choon Hann tidak
membenarkannya menamatkan permainan dengan cepat dan kembali mengawal permainan
untuk mengejar mata demi mata hingga pada kedudukan 14-12.
Roslin yang hanya memerlukan
satu mata untuk menamatkan permainan mula cemas tetapi mujur satu pukulan balas
Choon Hann terkeluar untuk memberi mata kemenangan kepadanya.
Sementara itu, Budi Santoso
dari Indonesia mengakhiri rekod tanpa kalah pemain India, P. Gopichand pada
kejohanan ini.
Budi menang 15-5, 1-15, 15-10
dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Dalam acara beregu, pasangan
negara, Chong Tan Fook/Lee Wan Wah turut layak ke perlawanan akhir dan akan
bertemu pasangan Indonesia, Tony Gunawan/Rexy Mainaky.
Di peringkat separuh akhir,
pasangan utama negara itu menewaskan beregu Denmark, Jen Eriksen/Jesper Larsen
15-10, 15-8.
Manakala Tony/Rexy menewaskan
rakan sepasukan, Chandra Wijaya/Eng Hian 15-7, 15-8 dalam satu lagi perlawanan
separuh akhir.
KEPUTUSAN (Separuh akhir):
LELAKI perseorangan - ROSLIN
HASHIM (MAS) kln WONG CHOON HANN (MAS) 15-4, 15-12; Budi Santoso (INA) kln P.
Gopichand (IND) 15-5, 1-15, 15-10.
Beregu - Tony Gunawan/Rexy
Mainaky (INA) kln Chandra Wijaya/Eng Hian (INA) 15-7, 15-8; CHONG TAN FOOK/LEE
WAN WAH (MAS) kln Jen Eriksen/Jesper Larsen (DEN) 15-10, 15-8.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4b6Fb1mMY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan