ARKIB : 24/12/2000
Sekiranya pencapaian tahun 1996 dianggap buruk selepas 10 tahun berikutan kegagalan pasukan lelaki negara mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Thomas, prestasi tahun ini lebih daripada itu.
Ini kerana pada tahun 1996 itu pemain negara berjaya menebus kekalahan mereka di Piala Thomas dengan membawa pulang satu pingat perak satu pingat gangsa daripada Sukan Olimpik.
Pingat perak pertama negara itu disumbangkan oleh pasangan beregu Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock sementara Rashid Sidek membawa pulang pingat gangsa pada temasya itu.
Tetapi kebangkitan yang serupa tidak diulangi oleh pemain negara pada temasya itu walaupun Soon Kit dan Yap masih diturunkan pada Sukan Olimpik Sydney, September lepas.
Malah pencapaian terbaik negara di temasya itu diperoleh oleh gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang terlepas peluang memperoleh pingat gangsa setelah kecundang di tangan pemain Korea Selatan, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung 12-15, 15-7, 4-15.
Tambah mengecewakan apabila kekalahan pasukan negara di Kejohanan Piala Thomas berlaku di gelanggang sendiri ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pertandingan dwitahunan yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil berbanding di Hong Kong ketika kegagalan tahun 1996.
Sama seperti tahun 1996, Presiden BAM ketika itu, Datuk Dr. Abdullah Fadzil Che Wan dengan lantang mengeluarkan pelbagai kenyataan bahawa pasukan negara yang diturunkan mampu mengulangi kejayaan 1992 iaitu merampas semula Piala Thomas.
Dan seperti tahun itu juga, pasukan negara mengecewakan ribuan pemainat badminton tanah air yang akhirnya menuntut Fadzil agar melepaskan jawatan sebagai presiden.
Jika pada tahun 1996 Fadzil enggan meletakkan jawatan, kali ini beliau tidak dapat mengelak kerana telah berjanji untuk melepaskan kedudukannya sekiranya gagal merampas semula Piala Thomas daripada Indonesia yang memenanginya sejak 1994.
Tindakan beberapa peminat sukan badminton membuka kain rentang yang meminta Fadzil melepaskan jawatan sejurus selepas kegagalan pasukan negara mara ke separuh akhir Piala Thomas menyaksikan beliau menghantar surat peletakan jawatan itu sehari selepas itu.
Beliau yang menduduki kerusi presiden sejak 1993 bagaimanapun hanya melepaskan kedudukannya kira-kira sebulan selepas itu majlis BAM dikatakan menolaknya.
Namun berikutan tekanan daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai, BAM terpaksa akur dan Fadzil serta Setiusaha Kehormat yang juga pengurus pasukan Piala Thomas, Datuk Mohamad Al-Amin Majlis terpaksa melepaskan jawatan mereka bermula 21 Jun lepas.
Selepas itu, operasi BAM diteruskan dengan Timbalan Presidennya, Datuk Roland Wong memangku tugas presiden dan jawatan setiusaha pula dipangku oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN), Zulkeples Embong.
Tugas Roland sebagai pemangku Presiden tamat selepas mesyuarat agung tahunan 16 Disember lepas yang memilih ahli korporat, Datuk Nadzmi Salleh sebagai presiden baru.
Pelantikan Nadzmi, Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings dikatakan selaras dengan cadangan Jawatankuasa Penasihat yang ditubuhkan khas untuk mencari jalan memulihkan semula imej sukan badminton yang sudah tidak bermaya.
Selain daripada itu bagi memberi amaran awal kepada skuad kebangsaan sedia ada, BAM akhir bulan lepas mengumumkan penyingkiran 13 pemainnya yang tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
Beberapa perubahan juga dijangka berlaku terutama pada awal tahun depan berikutan perubahan tampuk kepimpinan badan induk itu.
Selain daripada itu, kehadiran seorang lagi jurulatih berkaliber, Indra Gunawan dari Indonesia yang akan memulakan tugas awal tahun depan juga diharap dapat memulihkan semula prestasi pemain negara di peringkat antarabangsa.
Apapun, tanpa perubahan sikap pemain terhadap perjuangan mereka dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, kehadiran jurulatih terhebat dunia dan kepimpinan tokoh korporat terbaik tidak mungkin dapat mengubah kemerosotan prestasi yang dilalui sekarang.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4bEBKeeT3 © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan