Isnin, 6 Mac 2017

Roslin, Ewe Hock mara ke separuh akhir

ARKIB : 22/07/2000
JAKARTA - Perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki akan menyaksikan pertemuan antara pemain Malaysia dan Indonesia, selepas Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock masing-masing mengenepikan cabaran dua pemain Korea pada suku akhir, semalam.

Roslin yang mengejutkan pemain utama dunia, Peter Gade Christen, kelmarin meneruskan kecemerlangan pada peringkat suku akhir dengan menewaskan pemain Korea Park Tae Sung 15-8, 15-9.

Manakala Ong Ewe Hock pula terpaksa mengerah tenaga sebelum menundukkan pemain Korea yang pernah menewaskannya pada kejohanan Piala Thomas di Kuala Lumpur Mei lalu, Lee Hyun II dengan tiga set 15-4, 7-15, 15-9.

Pada peringkat separuh akhir hari ini, Roslin akan bertemu dengan juara bertahan, Taufik Hidayat yang terpaksa berhempas pulas sebelum mengenepikan cabaran pemain Hong Kong, Agus Hariyanto pada peringkat suku akhir dalam pertarungan tiga set.

Manakala Ewe Hock pula akan bertemu dengan seorang lagi pemain Indonesia, Johan Hadikusumah yang menewaskan rakan sepasukan Ewe Hock, Yap Yong Jyeun dengan 15-8,7-15 dan 15- 13.

Sementara itu cabaran Malaysia dalam acara beregu berakhir apabila satu-satunya harapan Malaysia, Choong Tan Fook/Lee Wah Wah terpaksa tunduk kepada kehebatan pasangan Indonesia yang juga beregu nombor satu dunia, Chandra Wijaya/Tony Gunawan dengan straigt set, 15-11,15-13.

Mengulas mengenai permainannya semalam, Roslin berkata, pada set pertama dia agak gugup sehingga ketinggalan 0-7 kepada Park.

''Bagaimanapun saya dapat mengawal keadaan itu setelah melihat Park mulai kehilangan konsentrasi dan melakukan kesilapan demi kesilapan,'' katanya.

Mengenai perlawanannya dengan Taufik esok, Roslin berkata, sejak datang ke sini, beliau tidak pernah memikirkan siapa lawannya.

''Apa yang penting saya akan bermain dengan bersungguh-sungguhnya untuk mencapai kejayaan,'' katanya yang pada perlawanan itu mendapat sorakan penonton.

Ewe Hock pula walaupun mencatatkan kejayaan mudah dalam set pertama, namun dia hilang tumpuan pada set kedua sehingga banyak melakukan kesilapan demi kesilapan.

''Lee Hyun II mengambil kesempatan itu untuk menguasai set kedua,'' katanya.

Pada set ketiga, kata Ewe Hock, dia memerangkap Lee Hyun II dengan permainan rali dan bermain di jaring sehingga memaksa pemain Korea itu beberapa kali melakukan kesilapan.

''Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Hyun II memberi kesempatan kepada saya untuk memenangi set ketiga,'' katanya.

Dalam perseorangan wanita, bekas pemain Indonesia yang kini mewakili Belanda, Mia Audina tewas kepada juara bertahan, Lydia Djaelawijaya 11-8, 9-11, 11-0.

Dia akan bertemu dengan pemain nombor satu dunia, Camelia Martin pada separuh akhir. Camelia menewaskan pemain Jepun, Kanako Yonekura 11-4, 7-11, 11-5. - Utusan

Daripada: ZULKIFLEE BAKAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aYTsE5n8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan