ARKIB : 23/07/2000
JAKARTA - Pemain perseorangan
negara, Ong Ewe Hock melayakkan diri ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton
Terbuka Indonesia selepas menewaskan pemain Indonesia, Johan Hadi Kusumah
dengan straight set pada separuh akhir, semalam.
Ewe Hock mencatatkan kemenangan
15-9, 15-5 ke atas Johan untuk bertemu dengan juara bertahan, Taufik Hidayat
yang mengetepikan cabaran seorang lagi pemain Malaysia, Roslin Hashim juga
dengan straight set 15-11, 15-4.
Ewe Hock yang mengejutkan
pilihan kedua dan juga juara terbuka Thailand, Hendrawan pada pusingan ketiga
kelmarin, mengekalkan kecemerlangan itu apabila menjadikan 'smashnya' yang
tajam sebagai 'senjata' untuk memusnahkan Johan.
Kemenangan itu membolehkannya
mengulangi kecemerlangan yang dilakukan oleh pemain negara, Yong Hock Kin pada
tahun 1998.
Hock Kin bukan saja mara ke
akhir tetapi turut mencatatkan sejarah sebagai pemain perseorangan negara
pertama menjuarai kejohanan itu.
Mengulas mengenai kemenangannya
Ewe Hock berkata, berbanding pertemuannya dengan Hendrawan, dia lebih gemar
bermain dengan Johan.
''Ini kerana ia banyak membuka
peluang kepada saya untuk melakukan smash tajam,'' katanya yang dilempar botol
air oleh penonton sebaik sahaja menamatkan perlawanan dengan Johan.
Mengenai perlawanan akhir esok,
Ewe Hock berkata, dia merasa gembira kerana sudah berjaya melangkah ke akhir
dan akan bermain dengan tenang serta berusaha mencatat kejayaan.
Ditanya mengenai sikap
penonton, Ewe Hock menjelaskan, dia tidak mempunyai masalah dengan sokongan
yang mereka berikan kepada pemain Indonesia.
''Cuma saya sedikit kecewa
kerana ada penonton yang melontar botol air kepada saya, tetapi saya memahami
ini adat bersukan,'' katanya.
Sementara itu, Roslin yang pada
pusingan ketiga melakukan kejutan dengan menundukkan pemain nombor satu dunia
yang juga pilihan pertama, Peter Gade Christensen terperangkap dengan
strateginya sendiri yang cuba mengajak Taufik bermain rally.
Ini kerana bulu tangkis yang
dihantar oleh Roslin sering keluar gelanggang.
Bagi acara perseorangan wanita,
pemain nombor satu dunia, Camillia Martin akan bertemu dengan Cheng Wang (Hong
Kong) setelah pemain Denmark itu mudah menyingkirkan juara bertahan, Lidya
Djaelawijaya dari Indonesia.
Chen Wang pula menewaskan
pemain Wales, Kelly Morgan 11-0, 11-4.
Dalam acara beregu lelaki pula,
Indonesia sudah pasti menjadi juara setelah dua pasangan melayakkan diri ke
perlawanan akhir.
Bagi acara beregu campuran
kejutan berlaku apabila juara bertahan, Tri Kusharjanto/Minarti Timur tewas
kepada pasangan England, Simon Archer/Joanne Goode dalam pertarungan sengit
yang berlanjutan sehingga tiga set.
Simon/Joanne melangkah ke akhir
untuk bertemu pasangan nombor satu dunia, Michael Sogaard/Rikke Olsen dari
Denmark, yang menumpaskan satu lagi pasangan Indonesia, Bambang
Supritanto/Zelin Resiana 15-7, 15-13. - Daripada ZULKIFLEE BAKAR Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4aYUojUYd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan