Jumaat, 10 Mac 2017

Choong Hann mara

ARKIB : 19/08/2000 
CHOONG HANN meraikan kejayaannya menyingkirkan juara bertahan, Luo Yigang 15-6, 15-6 pada suku akhir Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.

PEMAIN negara, Wong Choong Hann mengiringi pilihan pertama, Taufik Hidayat dari Indonesia layak ke separuh akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

Namun impian Ong Ewe Hock untuk mengulangi kecemerlangannya di Terbuka Indonesia gagal apabila dikejutkan oleh pemain India, Pullela Gopichand.

Ewe Hock tewas straight set kepada Gopichand 13-15, 9-15 dalam masa 55 minit untuk meninggalkan Choong Hann satu-satunya wakil tunggal negara meneruskan cabaran ke separuh akhir kejohanan lima bintang yang merupakan pertandingan terakhir sebelum Sukan Olimpik.

Selain Choong Hann, beregu utama negara, gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah turut menempah tiket ke separuh akhir setelah menumpaskan Zhang Wei-Zhang Ju dari China 15-4, 15-9.

Choong Hann mengakhiri cabaran juara tahun lalu, Luo Yigang dari China 15-6, 15-6 dalam masa 36 minit sekali gus menebus kekalahannya pada pemain itu di pusingan akhir Terbuka Malaysia 1999.

Dia akan meneruskan cabaran menentang pemain China, Xia Xuanze yang mengalahkan Keita Masuda dari Jepun dengan 15-4, 15-6, manakala Tan Fook-Wan Wah berdepan pasangan Korea, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung yang menewaskan Halim Heryanto-Sigit Budiarto dari Indonesia dengan 12-15, 15-10, 15-8.

Perlawanan Ewe Hock dan Gopichand menyaksikan naib juara Terbuka Indonesia bulan lepas itu ketinggalan 4-9 sebelum menyamai kedudukan 10-10, diikuti 13-13.

Ewe Hock gagal melakukan penyudah yang baik kalah 15-13 selepas anak didik bekas legenda badminton India, Prakash Padukone mengutip dua mata terakhir.

Ewe Hock ketinggalan 3-8 di set kedua, tetapi berjaya menyamakan kedudukan 8-8, namun Gopichan bangkit mengutip enam mata berturut-turut untuk mendahului 14-9.

Ewe Hock hanya berjaya mengutip satu mata sebelum Gopichan mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan kemenangan 15-9.

''Kawalan bulu tangkis saya tidak bagus juga masalah angin di stadium. Nasib juga menyebelahi Gopi kerana dia menang semua pertemuan sepanjang kejohanan ini,'' kata Ewe Hock.

Bekas jurulatih kebangsaan, Han Jian yang kini melatih kedua-dua pemain perseorangan Olimpik negara itu berkata, Ewe Hock tidak mempamerkan permainan sebenarnya pada pertemuan semalam.

''Dia tidak membaca permainan lawannya sebaliknya mengikut rentak Gopichand. Saya telah memberitahunya perkara ini semasa rehat sebelum set kedua bermula tetapi dia tidak mengubah corak permainan,'' ujarnya.

Sementara itu, gandingan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang membuat kejutan, menewaskan Ha Tae Kwan-Kim Dong Moon dari Korea Selatan pada pusingan pertama Rabu lalu gagal menempah tiket ke separuh akhir.

Pasangan yang digandingkan kira-kira dua bulan lalu tumpas kepada beregu Indonesia Fendi-Eng Hian 17-16, 15-6.

Gandingan Chor Hooi Yee-Ang Li Peng yang menjadi beregu tunggal negara mara ke suku akhir pula tumpas kepada pasangan nombor satu dunia, Ge Fei-Gu Jun 3-15, 4-15 untuk mengakhir cabaran mereka

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4audxgwpV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan