ARKIB : 02/03/2001
PEMAIN perseorangan Nusa Mahsuri,
Roslin Hashim yang diletakkan sebagai pilihan 5/8 dijangka menghadapi laluan
mudah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England yang dijadual
berlangsung 6 hingga 11 Mac ini.
Roslin yang melakukan kejutan
dengan menewaskan Lee Hyun Ill untuk mara ke suku akhir Terbuka Korea, Januari
lalu dijangka membuat perhitungan dengan pemain kedua Indonesia, Hendrawan pada
separuh akhir kejohanan tertua bertaraf empat bintang yang menawarkan hadiah
AS$150,000 (RM570,000).
Anak didik Misbun Sidek itu
dijadual berdepan Kasper Oedum dari Denmark pada pusingan pertama dan dia
dijangka menghadapi satu lagi pemain tidak ternama, Andrew South dari England
pada pusingan berikutnya.
Adik Roslin, Muhd. Hafiz Hashim
bagaimanapun menghadapi nasib berbeza apabila dia dijadual bertemu pemain
pilihan kedua dan juara bertahan, Xia Xuanze dari China seawal pusingan
pertama.
Laluan tiga lagi pemain
perseorangan negara, Ong Ewe Hock, Ismail Saman dan Ramesh Nathan tidaklah
begitu selesa.
Ewe Hock yang diletak sebagai
pilihan 9/16 dijangka menghadapi saingan dengan Marleve Mainaky dari Indonesia
yang diletakkan sebagai pilihan 5/8 ataupun pemain bukan pilihan, Shong Seung
Mo dari Korea pada pusingan ketiga.
Hyun Ill yang menewaskan Roslin
pada Terbuka Korea dijangka menjadi penghalang kepada Ramesh seawal pusingan
kedua sementara Ismail bakal berdepan cabaran pemain India, Gopichand Pulella
untuk menempah tiket ke pusingan ketiga.
Dua pemain beregu negara juga
mempunyai nasib berbeza dengan pasangan nombor satu negara, gandingan Choong
Tan Fook-Lee Wan Wah dijangka tidak menghadapi banyak masalah untuk ke separuh
akhir.
Ketua jurulatih negara, Park
Joo-bong berkata, halangan mungkin datang daripada pilihan keenam pertandingan,
Michael Sogaard-Jim Laugesen dari Denmark di peringkat suku akhir.
``Mereka seharusnya mara hingga
ke separuh akhir kerana memperoleh undian yang agak selesa di peringkat awal,''
kata Joo-bong yang juga jurulatih beregu negara.
Jurulatih Korea itu bagaimanapun
mengakui peluang pasangan muda, Chew Choong Eng-Chan Chong Ming untuk
menghadapi laluan sukar kerana bertemu pilihan pertama pertandingan, Flandi
Limpele-Eng Hian dari Indonesia seawal pusingan kedua setelah kedua-duanya
mendapat bye di pusingan pertama.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bTbv3Chn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan