ARKIB : 23/02/2001
EMPAT pemain pelapis, Ismail
Saman, James Chua, Yeoh Kay Bin dan Lee Tsuen Seng kini terpaksa bersaing bagi
merebut tiga tempat skuad senior setelah masing-masing muncul juara kumpulan
perseorangan lelaki ujian kelayakan di Akademi Badminton Malaysia, Kuala
Lumpur, semalam.
Jururunding badminton negara,
Indra Gunawan berkata, keempat-empat pemain akan bertemu antara satu sama lain
dan tiga pemain terbaik akan diserap dalam skuad senior yang telahpun diisi
tiga pemain berpengalaman, Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin.
``Seorang daripada mereka akan
kekal sebagai pemain pelapis bersama beberapa lagi pemain berpotensi yang akan
dipertimbangkan berdasarkan prestasi mereka semasa ujian ini,'' katanya yang
ditemui di akademi berkenaan semalam.
Menurut Indra, berdasarkan
pemerhatiannya beberapa pemain muda dan berbakat yang dihantar oleh persatuan
negeri juga akan dipertimbangkan untuk mengisi kedudukan pemain pelapis skuad
kebangsaan.
``Saya telah mengenal pasti
beberapa pemain negeri yang berpotensi. Pemilihan pemain ke skuad pelapis tidak
akan diukur berdasarkan keputusan semata-mata.
``Saya dan jurulatih yang akan
akan berbincang pada mesyuarat Isnin ini untuk menyenaraikan mereka yang
berpotensi. Yang pasti kami akan memberi alasan pemilihan mereka,'' ujarnya.
Mengenai kedudukan pemain
pelapis, Sairul Amar Ayob dari Perlis yang masih belum menunjukkan sebarang
peningkatan sejak menyertai skuad itu, Indra berkata, beliau sedang memerhatikan
perkembangannya.
``Dia mampu menjadi pemain
berpotensi berdasarkan ketinggiannya tetapi Sairul perlu meningkatkan kekuatan
fizikalnya yang masih jauh ketinggalan.
``Saya sudah memberitahunya agar
menumpukan kepada latihan fizikal sebagai langkah permulaan meningkatkan
kemampuannya.
``Berdasarkan pemerhatian saya
selama dua minggu ini, pemain ini masih lemah dari segi fizikal. Kini terpulang
kepada sejauh mana keinginannya untuk mengatasi masalah ini sebelum dia boleh
maju,'' ujarnya.
Kedudukan pemain-pemain lain
masih belum dipastikan tetapi gandingan Tan Chin Lee-Lin Woon Fui dan Gan Taik
Chai-Mohd Fairuzizuan yang merupakan bekas pemain akademi dikatakan berpeluang
menyertai skuad pelapis bagi kategori beregu lelaki.
Ujian kelayakan yang disertai
oleh pemain pelapis dan akademi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta pemain
persatuan negeri akan berlangsung sehingga esok.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bPO0S23T
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan