ARKIB : 05/02/2001
JURULATIH badminton kebangsaan,
Park Joo Bong nampak semakin lega berikutan sikap pemain-pemainnya yang mula
berubah ke arah lebih berdisiplin.
Bagaimanapun, itu tidak bermakna
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah boleh menarik nafas, sebaliknya Joo
Bong berkata, sesuatu masih perlu dilakukan agar tahap disiplin pemain-pemain
terus meningkat dan dapat dikekalkan sepanjang masa.
Oleh itu, ketua jurulatih itu
berkata, satu mesyuarat dengan kesemua jurulatih akan diadakan hari ini untuk
mencari rumusan terbaik bagi mendisiplinkan pemain-pemain.
``Kami akan mengadakan mesyuarat
esok (hari ini) untuk membincangkan mengenai perkara ini,'' katanya.
``Perbincangan itu akan
melibatkan kesemua jurulatih perseorangan dan juga beregu.''
Menurut beliau, antara lain,
topik perbincangan akan ditumpukan kepada kemungkinan beberapa bentuk hukuman
sebelum ini diperketatkan lagi untuk mendisiplinkan pemain-pemain.
``Sebelum ini kita boleh
menggantung pemain-pemain dari pertandingan antarabangsa, menggantung latihan
atau elaun latihan dipotong,'' katanya.
``Mesyuarat itu nanti akan
membincangkan sama ada perubahan perlu maktubkan secara rasmi.''
Kata Joo Bong lagi, beberapa
peraturan dan syarat-syarat untuk mengawal pemain juga perlu mengalami perubahan
dan dibuat secara hitam putih.
``Sebelum ini, memang sudah ada
peraturan dan syarat-syarat yang perlu diikuti oleh pemain-pemain tetapi ia
tidak dibuat secara hitam putih,'' jelasnya.
Hasil mesyuarat itu nanti,
katanya, akan dimaklumkan kepada pemain-pemain dan sesiapa yang melanggar
peraturan akan dikenakan hukuman menurut apa yang telah diputuskan dalam
mesyuarat itu.
Jurulatih dari Korea Selatan itu
berkata demikian kepada pemberita di majlis sambutan hari jadi anaknya, Park
Jimin yang akan berumur setahun pada 14 Februari ini, di Kuala Lumpur semalam.
Majlis itu, yang turut dihadiri
oleh pemain-pemain kebangsaan, diadakan lebih awal kerana Joo Bong akan berada
di Brunei untuk Grand Prix Dunia akhir pada tarikh tersebut.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bO8BIM59
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan