ARKIB : 02/03/2001
BEKAS pasangan beregu nombor satu
negara, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock kini memulakan tugas baru sebagai
jurulatih selepas mengumumkan persaraan selepas aksi terakhir pada Sukan
Olimpik Sydney, September lalu.
Bagaimanapun kedua-duanya
mempunyai tugasan berbeza dengan Soon Kit, 32, menumpukan kepada lapan pemain
beregu wanita di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kim Hock diletakkan di
Sekolah Sukan Bukit Jalil bagi melatih skuad remaja.
Pengambilan mereka sebagai
jurulatih diumumkan oleh Presiden BAM, Datuk Nadzmi Mohd Salleh selepas
mesyuarat majlis di Kuala Lumpur, Sabtu lepas.
Mereka diletakkan dalam tempoh
percubaan selama enam bulan sebelum disahkan untuk menyandang jawatan itu.
``Di peringkat awal ini saya cuba
mengubah pemikiran pemain beregu ini kepada yang lebih positif kerana selama
ini mereka selalu memandang rendah terhadap kemampuan diri,'' katanya Soon Kit
ketika ditemui selepas menamatkan latihan sesi pagi di BAM, semalam.
Dengan tugas baru itu, Soon Kit
kelihatan membuat penampilan berbeza daripada seorang yang kurang sabar semasa
penjadi pemain dulu kepada yang lebih matang dalam membuat kenyataan.
Malah bimbang tidak dapat
melaksanakan tugas yang dijanjikan dengan sempurna, Soon Kit enggan menyatakan
sasaran yang diletakkannya sebagai jurulatih.
``Saya tidak suka menyatakan
sasaran atau apa yang saya ingin lalukan kerana lebih suka membuktikan sesuatu
perkara dengan melaksanakannya sebagai bukti,'' katanya sambil tersenyum.
Soon Kit bagaimanapun berharap
pemain di bawah kendaliannya mengambil segala peluang yang terbuka sekarang
untuk mencipta nama di arena antarabangsa sebelum bersara.
``Kini adalah masa paling sesuai
untuk pemain wanita membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing seperti
pasukan lelaki.
``Dengan peluang yang diberikan,
mereka seharusnya bekerja keras untuk berjaya dan mencipta nama sebelum
bersara,'' katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4bTdYDhbb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan