Selasa, 17 Februari 2015

Jin Wei pemain istimewa

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI

ikhsan.azmi@kosmo.com.my
 
JIN WEI mampu pergi lebih jauh jika terus gigih berlatih untuk meningkatkan prestasinya.

KEJAYAAN pemain remaja negara, Goh Jin Wei yang muncul juara sirkit kebangsaan seawal usia 15 tahun pada Kejohanan Badminton Terbuka Kuala Lumpur 2015 kelmarin sudah cukup untuk membuktikan bahawa skuad perseorangan wanita negara mampu menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa suatu hari nanti.

Jurulatih perseorangan wanita negara, Wong Tat Meng mengakui, bakat istimewa yang dimiliki pemain tersebut meningkat dengan baik sejak dia menyertai kem negara pada 2013 ketika disenaraikan untuk menghadapi Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Thailand.

Jelas Tat Meng, Jin Wei serta dua lagi pemain remaja, Lee Zii Yii dan Lee Ying Ying yang tersingkir pada aksi separuh akhir memberikan gambaran yang jelas bahawa program jangka panjang bagi acara perseorangan wanita pada Sukan Asia 2018 dan Sukan Olimpik 2020 berada di landasan yang betul.

“Jin Wei seorang pemain yang mempunyai bakat istimewa. Kita dapat nilai gaya permainan dia pada kejohanan kali ini yang ternyata lebih matang terutama sejak menyertai kem negara dua tahun lalu. Pencapaian mereka membuatkan saya percaya ia satu hasil yang bagus dan peningkatan yang mendadak sejak kami menggabungkan sesi latihan pemain-pemain remaja dan senior pada 2013.

“Ketika itu saya baru kembali menyertai kem negara selepas pulang dari Indonesia dan disebabkan jumlah pemain senior yang tidak ramai, saya mencadangkan agar sesi latihan mereka tidak dipisahkan. Tujuan kami adalah untuk merapatkan jurang permainan mereka terutama pemain remaja yang sedang meningkat dan pada masa yang sama memberi tekanan kepada pemain-pemain senior.

“Jadi pemain-pemain senior tidak lagi boleh ambil mudah, mereka tidak akan berada dalam keadaan yang selesa dan perlu bekerja keras,” kata Tat Meng.

Bagaimanapun, Tat Meng berharap, kejuaraan yang diraih Jin Wei akan mendorong pemain itu berlatih dengan lebih gigih, sekali gus meraih keputusan lebih baik pada kejohanan-kejohanan antarabangsa di Belanda dan Jerman pada hujung bulan ini dan Mac depan.

“Kejayaan Jin Wei merupakan satu berita yang bagus untuk kami, sebagai jurulatih, saya sentiasa berharap dia akan terus berusaha dan jangan mudah berasa selesa.

“Dia seorang pemain yang rajin tetapi saya juga risau jika kemenangan ini akan mengubah perwatakan dia. Begitupun, sebagai jurulatih kebangsaan, sasaran kami sebenarnya di pentas antarabangsa, saya mahu lihat dia menewaskan pemain-pemain dari negara lain pula selepas ini.

“Kami tidak tahu standard pemain-pemain remaja terutama dari China, Korea Selatan dan Jepun kerana mereka jarang menghantar pemain-pemain remaja pada kejohanan antarabangsa,” kata Tat Meng semalam.

Dalam pada itu, Jin Wei yang meraih gelaran pertama pada aksi sulung kategori perseorangan wanita divisyen satu berkata, kemenangan itu telah menguatkan keazamannya untuk mengikut jejak idolanya, Ratchanok Intanon dari Thailand yang menjadi juara dunia pada usia 18 tahun.

“Seperti pemain lain saya juga mahu menjadi juara dunia dan saya berharap impian besar saya ini akan tercapai ketika saya berusia 18 atau 19 tahun.

“Begitupun, kejuaraan ini masih belum cukup untuk membantu saya muncul juara di pentas antarabangsa kerana saya tahu masih ada pemain-pemain yang lebih bagus dari Thailand dan China pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia,” ujar Jin Wei.

Jin Wei meraih gelaran pertama divisyen satu selepas menewaskan pemain senior, Lim Yin Fun dalam satu persaingan sengit yang berkesudahan 21-13, 22-24, 21-19 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, kelmarin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3RxwJyUP0 Hakcipta terpelihara