Jumaat, 14 Mac 2014

Kim Hock tawar diri bantu BAM


 


Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

YAP Kim Hock hadir di pejabat BAM, Buki Kiara semalam untuk hadir sesi temuduga jurulatih beregu kebangsaan.
KUALA LUMPUR - Pada ketika Datuk Misbun Sidek masih membisu mengenai tawaran yang dikemukakan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bekas jaguh beregu, Yap Kim Hock sebaliknya tampil menawar diri untuk membantu badminton negara.

Semalam, bekas ketua jurulatih kebangsaan itu hadir untuk sesi temuduga yang diketuai Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bersama Setiausaha Agung, Ng Chin Chai dan Pengurus Besar BAM, Kenny Goh.

Melihat pengalaman yang dimiliki Kim Hock dan kekosongan yang ­ditinggalkan jurulatih dari Indonesia, Paulus Firman, Kim Hock, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996 Atlanta dilihat cukup sesuai untuk digandingkan dengan Pang Cheh Chang membimbing beregu lelaki.

Menurut Kim Hock, beliau telah menghantar surat permohonan untuk menjadi jurulatih beregu lelaki skuad kebangsaan pada Disember tahun lalu dan semalam BAM telah memanggilnya untuk sesi temuduga yang berlangsung selama sejam lebih.

“Saya hanya memohon untuk menjadi jurulatih beregu lelaki sahaja dan tadi saya menerangkan kepada presiden apa yang boleh saya sumbangkan kepada BAM, terutama untuk menaikkan standard pemain kita," katanya.

Kim Hock, yang menjadi ketua jurulatih negara ­pada 2005-2008 menambah, pengalaman yang dimiliki sebagai pemain dan jurulatih boleh dimanfaatkan oleh skuad negara.

Keputusan mengenai permohonannya akan ditentukan dalam mesyuarat exco, Khamis depan.

“Saya ada banyak pengalaman dan pernah memohon jawatan ini namun tidak dapat.

“Saya tampil lagi kerana sekarang kita masih kekurangan jurulatih beregu lelaki, jadi saya cuba memohon semula.

“Saya mempunyai sasaran peri­badi ketika menjadi pemain iaitu meraih emas Olimpik, tetapi tidak pernah menang.

“Sekarang saya punya peluang untuk merealisasikannya dalam bidang kejurulatihan.

“Banyak perkara yang boleh dibuat kerana kita mempunyai pemain yang berkaliber dan berkualiti," katanya.

Kim Hock yang juga pernah menjadi ketua jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) berkata, pemain seperti Tan Boon Heong adalah bertaraf dunia, cuma memerlukan pasangan yang betul untuk mencapai tahap sebagai juara Olimpik.

“Kita mempunyai program latihan yang konsisten dan saya rasa tidak ada masalah untuk saya mengulangi pencapaian ketika membawa Koo Kien Keat bersama Boon Heong ketika bekerjasama dengan jurulatih, Rexy Manaiky.

“Sekarang terpulang kepada BAM, saya memang tidak ada sebarang masalah dengan jurulatih sedia ada mahu pun pemain," katanya lagi.

Sementara itu, Chin Chai mengakui bahawa Misbun tidak memberi sebarang respons mengenai surat tawaran sebagai Pengarah Kejurulatihan yang dikemukakan kepadanya.

Kedudukan bekas ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her juga akan dibincangkan dalam mesyuarat exco, minggu depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140315/su_01/Kim-Hock-tawar-diri-bantu-BAM#ixzz2vzHLCj00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 8 Mac 2014

Chong Wei mara ke final ALL England

8 Mac 2014
 Lee Chong Wei
Lee Chong Wei Lee Chong Wei
JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei terpaksa bekerja keras untuk meneruskan cabaran ke final Kejohanan Badminton All England 2014 di National Indoor Arena, Birmingham, England.

Pada perlawanan separuh akhir hari ini, Chong Wei menerima tamparan awal apabila tewas pada set pertama 14-21 kepada pemain bukan pilihan Son Wan Ho dari Korea Selatan sebelum bangkit pada set kedua 21-19.

Chong Wei turun selaku pemain pilihan utama meraih kemenangan 21-15 pada set ketiga dalam perlawanan yang berlangsung selama 1 jam 11 minit, menurut laman web www.bwfbadminton.org//sport.

Menanti Chong Wei pada final esok ialah juara bertahan Chen Long dari China selepas menyingkirkan rakan sepasukannya Wang Zheming, 21-17 dan 21-14 dalam satu lagi perlawanan.

Chong Wei merangkul kejuaraan All England pada 2010 dan 2011 kemudian Lin Dan dari China merampas kejuaraan itu pada 2012. - Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE

All England: Chong Wei mara separuh akhir

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
8 Mac 2014
 Chong Wei
Chong Wei Chong Wei
PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia meneruskan cabaran di separuh akhir All England selepas menundukkan pemain muda, Kento Momonta dari Jepun awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Beraksi di National Indoor Arena, Birmingham, Chong Wei, yang memburu gelaran ketiga selepas menjuarainya pada 2010 dan 2011, mudah mengalahkan Momonta dengan straight set 21-14 dan 21-18.

Pada perlawanan separuh akhir, Chong Wei akan menentang Son Wan Ho dari Korea Selatan yang menewaskan pemain berpengalaman Kenichi Tago dari Jepun, 21-15 dan 21-17.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara, Hoon Tien How-Tan Wee Kiong apabila mereka kalah kepada Gideon Markus Fernaldi-Markis Kido dari Indonesia, 18-21 dan 12-21.

Sementara itu, juara bertahan, Chen Long dari China pula terpaksa bermain selama sejam 18 minit untuk mengenepikan Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark, 18-21, 21-11 dan 21-14 untuk mara ke separuh akhir.

Pemain nombor dua dunia itu akan menentang rakan sepasukannya Wang Zhengming dalam perlawanan seterusnya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE

Chong Wei, beregu negara mara ke suku akhir

7 Mac 2014
 Chong wei
Chong wei
DATUK Lee Chong Wei serta beregu lelaki negara Hoon Tien How dan Tan Wee Kiong mara ke suku akhir Kejohanan Badminton All England 2014 yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham, England.   

Chong Wei mudah menyingkirkan rakan sepasukan Chong Wei Feng dengan straight set 21-6 dan 21-12 dalam masa 35 minit pada perlawanan kedua awal hari ini waktu Malaysia.

Pemain nombor satu dunia itu akan bertemu pemain muda Kento Momota dari Jepun yang mengetepikan cabaran  pemain tuan rumah Rajiv Ouseph 21-15 dan 21-10 dalam satu lagi perlawanan, demikian menurut laman sesawang  www.bwfbadminton.org//sport.

Pasangan Tien How dan Wee Kiong pula terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan beregu Jepun Hirokatsu Hashimoto dan Noriyasu Hirata dengan 25-23, 20-22 dan 21-14 dalam masa 69 minit.

Beregu nombor lapan dunia itu akan berdepan pasangan Gideon Markus Fernaldi dan Markis Kido dari Indonesia yang menewaskan beregu pilihan ketiga kejohanan, Mathias Boe dan Carsten Mogensen dari Denmark dengan 21-18 dan 21-12.

Beregu wanita negara Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei pula kandas di pusingan kedua di tangan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo dan Ayaka Takahashi dengan 21-15 dan dan 21-11. - Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE

Chong Wei temu Wei Feng pusingan kedua All England

5 Mac 2014
Lee Chong Wei Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan bertemu Chong Wei Feng pada pusingan kedua Kejohanan Badminton All England 2014 di National Indoor Arena, Birmingham, England, esok.

Chong Wei menepati ramalan apabila dengan mudah mengetepikan pencabarnya Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand dengan 21-15 dan 21-17 dalam masa 28 minit pada perlawanan pusingan pertama hari ini.

Chong pula cemerlang menewaskan Marc Zwiebler dari Jerman dengan straight set 21-18 dan 21-19, demikian menurut laman web www.bwfbadminton.org//sport.

Namun seorang lagi pemain perseorangan negara Misbun Ramdan Misbun bagaimanapun kalah kepada Chou Tien Chen dari Taiwan 15-21 dan 10-21 dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama.

Turut mara ke peringkat seterusnya ialah beregu lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang turun selaku beregu pilihan kelima kejohanan dengan mengalahkan Chan Yun Lung-Lee Chun Hei dari Hong Kong, 19-21, 21-13 dan 21-4.

Satu lagi beregu negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah pula akan menentang beregu pilihan ketiga Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark pada awal pagi ini waktu tempatan.

Sementara itu, beregu campuran negara Chan Peng Soon-Lai Pei Jing tersingkir awal apabila tewas kepada beregu pilihan kedua kejohanan, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia 12-21 dan 5-21. - Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE

Chong Wei dalam undian strategik

18 Februari 2014
Lee Chong Wei
Lee Chong Wei Lee Chong Wei
KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berada dalam undian strategik untuk merampas kejuaraan All-England 2014 yang akan berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham, England pada 4-9 Mac depan.

Menurut undian yang dikeluarkan Badminton World Federation (BWF), Chong Wei turun selaku pemain pilihan utama dijangka akan membuat perhitungan semula dengan juara bertahan Chen Long dari China pada final.

Dalam undian kejohanan tersebut Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand pada perlawanan pusingan pertama.

Kemudian beliau dijadual akan menentang rakan sepasukan Chong Wei Feng atau Marc Zwiebler dari Jerman pada pusingan kedua sebelum berdepan dengan pencabarnya Du Pengyu dari China yang turun selaku pemain pilihan ketujuh dalam saingan suku akhir.

Bagaimanapun Du Pengyu dijangka akan menerima saingan sengit daripada pemain muda yang sedang meningkat naik Kento Momota dari Jepun untuk mara ke pusingan suku akhir.

Pada peringkat separuh akhir Chong Wei mungkin akan berdepan dengan pemain pilihan keempat Jan O Jorgensen dari Denmark ataupun pemain pilihan kelima Kenichi Tago dari Jepun.

Chong Wei merangkul kejuaraan All-England pada 2010 dan 2011.

Dalam pada itu Chen Long pula tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama dan kedua apabila diundi bersama pemain bukan pilihan.

Di atas kertas, Chen Long dijangka akan berjumpa dengan pemain pilihan keenam Boonsak Poosana dari Thailand pada peringkat suku akhir kemudian akan menentang pemain pilihan ketiga Tommy Sugiarto dari Indonesia pada pusingan separuh akhir.

Sementara itu juara Terbuka Malaysia 2014, Goh V Shem-Lim Khim Wah memikul tugas berat apabila perlu menyingkirkan pilihan ketiga, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark pada pusingan pertama dalam kategori beregu lelaki.

Sekiranya berjaya melepasi saingan pertama itu, V Shem-Khim Wah dijangka akan bertemu satu lagi beregu negara Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari ataupun Gideon Markus Fernaldi-Marks Kido dari Indonesia pada pusingan kedua.

Kemudian V Shem-Khim Wah dijangka akan menentang satu lagi beregu negara yang juga pilihan kelima Hoon Thien How-Tan Wee Kiong pada pusingan suku akhir.

Menanti mereka pada separuh akhir ialah beregu pilihan pertama Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia atau beregu pilihan kelapan Chris Adcock-Andrew Ellis dari England.

Dalam satu lagi saingan beregu lelaki, beregu pilihan kedua Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama dan kedua.

Kemudian Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dijangka akan bertemu pilihan keenam Angga Pratama-Ryan Agung Saputra dari Indonesia pada pusingan suku akhir.

Menanti mereka pada pusingan separuh akhir ialah di antara beregu pilihan keempat Liu Xiaolong-Qiu Zihan dari China atau beregu pilihan ketujuh Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin dari Taiwan.

Bagaimanapun beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak tersenarai dalam kejohanan All-England kali ini. – Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE

Khamis, 6 Mac 2014

Chong Wei jumpa Wei Feng di pusingan kedua

Lee Chong Wei melepasi pusingan pertama All England selepas menang ke atas Tanongsak Saensomboonsuk 21-15, 21-17 semalam.
KUALA LUMPUR - Biarpun diselubungi kecederaan, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei masih mampu mengetepikan tentangan sengit pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk pada pusingan pertama kejohanan badminton All England, semalam.

Dia yang tidak pernah tewas dalam enam pertemuan sebelum ini ke atas Tanongsak yang berkedudukan ranking ke-12 dunia, tidak pernah membiarkan lawannya dari Thailand itu memintas kedudukan mata pada set pertama dan kedua dengan konsisten berada di hadapan dalam permainan yang mengambil masa 28 minit untuk menang straight set, 21-15, 21-17.

Dia bakal bertemu Chong Wei Feng pada pusingan kedua hari ini setelah rakan senegaranya itu menewaskan pemain Jerman, Marc Zwiebler, 21-18, 21-19.

Kemaraan Chong Wei diiringi oleh pasangan lelaki negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong yang merupakan pilihan kelima kejohanan selepas menyingkirkan beregu dari Hong Kong, Chan Yun Lung-Lee Chun Hei melalui permainan rubber set, 19-21, 21-13 dan 21-4.

Harapan untuk melihat pemain muda negara, Misbun Ramdan Mohamed Misbun yang mara melalui pusingan kelayakan untuk melangkah lebih jauh pada All England tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain Taiwan, Tien Chen Hou 15-21, 10-21.

Gandingan Chan Peng Soon-Lai Pei Jing jelas tidak mampu menandingi pilihan kedua kejohanan, Tontowi Ahmad-Liliyana Nasir dari Indonesia apabila ditunjukkan jalan keluar hanya dalam tempoh 25 minit dengan kekalahan mudah 12-21, 5-21.

Ternyata Peng Soon masih memerlukan kelibat Goh Liu Ying yang terpaksa berehat ekoran mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan lutut dan masih memerlukan masa membentuk keserasian bersama Pei Jing, pemain muda berusia 21 tahun.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140306/su_03/Chong-Wei-jumpa-Wei-Feng-di-pusingan-kedua#ixzz2vAisqSUT © Utusan Melayu (M) Bhd