Khamis, 15 Julai 2021

Backhand smash senjata rahsia Zii Jia

ZII JIA sedia memberikan aksi terbaik dalam penampilan pertamanya pada Sukan Olimpik 2020 sekali gus memburu pingat emas sulung Olimpik buat negara.



Backhand smash senjata rahsia Zii Jia

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI

15 Julai 2021, 10:10 am

PERSEORANGAN lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia sedia untuk terus menjadikan teknik backhand smash (pukulan kilas tajam) sebagai senjata pemusnah pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo dalam usahanya memburu pingat emas sulung Olimpik buat negara.

Pukulan kilas tajam yang dilakukan pemain berusia 23 tahun itu nyata menjadi igauan ngeri kepada pemain-pemain lain memandangkan serangan tersebut sangat sukar untuk dipatahkan.

Bagaimanapun, Zii Jia mene­gaskan, dia tidak boleh terlalu bergantung pada teknik tersebut semata-mata kerana kebanyakan pemain sudah tahu mengenainya selain perlu melihat situasi perlawanan.

Saya rasa ramai sudah tahu mengenai teknik backhand smash yang saya lakukan sebelum ini, jadi saya tidak tahu sama ada ia akan menjadi atau tidak dalam setiap perlawanan. Ia bergantung pada situasi.

Selain itu, saya juga perlu mencongak strategi terbaik apabila turun ke gelanggang. Sekiranya ada peluang, sudah tentu saya akan keluarkan teknik itu (backhand smash),” katanya menerusi sidang akhbar secara dalam talian semalam.

Sebagai rekod, juara kejohanan badminton Seluruh England (All England) itu pernah mengejutkan beberapa jaguh ternama seperti pemain No. 1 dunia, Kento Momota serta pemain China, Shi Yuqi menerusi pukulan kilas tersebut.

Sementara itu, Zii Jia yang juga pemain No. 8 dunia menjelaskan, kekalahan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kepada ikon badminton China, Lin Dan masih terbayang-bayang sehingga ke hari ini.

Justeru, dia sedia memberikan aksi terbaik dalam penampilan pertamanya pada Olimpik, lebih-lebih lagi apabila dia turut diletakkan sebagai antara prospek untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.“Saya masih ingat Datuk (Chong Wei) tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir Sukan Olimpik 2012. Memang saya tidak sangka beliau akan tewas kerana memiliki peluang untuk menang ketika itu,” katanya.1

_____________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/07/15/backhand-smash-senjata-rahsia-zii-jia/

Selasa, 6 Julai 2021

Zii Jia bawa Jalur Gemilang di Tokyo



LEE ZII JIA

Oleh Meja Sukan

6 Julai 2021, 4:11 pm

PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan membawa Jalur Gemilang menggantikan Khairul Anuar Mohamad dari sukan memanah di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif Ahli Lembaga Pengarah memberitahu, perkara itu diberikan pertimbangan selepas Khairul meminta agar dikecualikan kerana acaranya bermula pada hari perasmian.

Kami bersetuju untuk mencadangkan Lee Zii Jia sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Tokyo 2020.

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan antara atlet yang akan berada di Tokyo semasa hari perasmian dan dia akan mewakili generasi atlet muda dan harapan untuk menyumbang pingat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Zii Jia sangat gembira kerana diberi peluang untuk membawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi menggantikan Khairul Anuar semasa hari perasmian.

Zii Jia akan bergandingan bersama Goh Liu Ying untuk membawa Jalur Gemilang di Tokyo.1

_____________________________

1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/zii-jia-bawa-jalur-gemilang-di-tokyo/