Selasa, 29 November 2016

Choon Hann tumpas Badminton Terbuka Jepun

ARKIB : 11/04/1999
TOKYO - Malaysia menamatkan cabaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun setelah Wong Choon Hann tumpas kepada pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen di separuh akhir, semalam.

Christensen menempah tiket ke pusingan akhir dengan menewaskan pemenang pingat emas Sukan Komanwel '98 itu 15-8, 15-12.

Pemain Denmark berusia 22 tahun itu akan bertemu Sun Jun dari China yang menewaskannya pada pusingan akhir Kejohanan Grand Prix Dunia di Brunei, Februari lalu.

Sun Jun turut mara ke pusingan akhir itu setelah menewaskan rakan senegara, Chen Hong 15-9, 15-12.

Dalam satu lagi perlawanan, China sudah pasti menjuarai acara perseorangan wanita kejohanan bernilai AS$180,000 (kira-kira RM684,000) setelah dua pemainnya menempah tiket ke pusingan akhir.

Gong Zhichao mara ke akhir setelah menewaskan pemain Korea, Kim Ji-Hyun 11-0, 11-6 dalam masa 33 minit.

Dengan kemenangan itu, Gong akan bertemu juara dunia, Ye Zhaoying, peluang untuknya menebus kehampaan tumpas kepada pemain itu pada pusingan akhir Terbuka Jepun, tahun lalu.

''Sebelum ini saya terpaksa bekerja keras sebelum dapat menewaskannya, tetapi kali ini ianya begitu mudah. Ini mungkin kerana saya telah menukar taktik permainan sedikit.

''Pada kali terakhir saya menewaskannya tahun lalu, saya agak terkejut, tetapi saya tidak pernah menewaskannya pada kejohanan besar.

''Agak sukar menewaskannya sekali lagi, kerana ketika ini dia merupakan pemain yang jauh lebih baik. Bagaimanapun saya akan cuba yang terbaik,'' kata Gong merujuk kepada perlawanannya menentang Ye hari ini.

Ye menewaskan Gong dalam dua set pada suku akhir Kejohanan Seluruh England bulan lepas dalam usahanya menjuarai pertandingan itu. ''Kami selalu bertemu. Ketika ini saya tidak terfikir menggunakan taktik tertentu untuk menentangnya. Saya rasa, pemain yang mampu mengawal permainan akan menang esok (hari ini),'' kata Ye.

Ye mara ke akhir setelah menewaskan rakan senegaranya, Gong Ruina, 18, yang menjuarai Terbuka Sweden, bulan lepas.

KEPUTUSAN
LELAKI perseorangan (separuh akhir)

Peter Gade Christensen (Den x1) kln Wong Choon Hann (Mas x11) 15-8, 15-12 ; Sun Jun (Chn x4) kln Chen Hong (Chn x15) 15-9, 15-12 .

WANITA perseorangan (separuh akhir) _ Gong Zhichao (Chn x7) kln Kim Ji-Hyun (Kor) 11-0, 11-6; Ye Zhaoying (Chn x3) kln Gong Ruina (Chn x2) 11-5, 11-6.

Beregu campuran (separuh akhir) _ Liu Yong/Ge Fei (Chn x6) kln Kim Dong-Moon/Ra Kyng-Min (Kor x1) 15-9, 15-11; Ha Tae-Kwon/Chung Jae-Hee (Kor x3) kln Zhang Jun/Yang Wei (Chn x8) 15-6, 9-15, 17-14.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RTGQteGz © Utusan Melayu (M) Bhd

Rashid kekal nombor satu

ARKIB : 10/04/1999
RASHID Sidek dari kelab Nusa Mahsuri masih kekal sebagai pemain nombor satu negara buat minggu ketiga berturut-turut berdasarkan kedudukannya dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan, semalam.

Pemain berumur 30 itu kini menduduki tempat ke-11, turun satu tangga daripada kedudukan minggu lepas.

Yong Hock Kin pula di tempat ke-14, rakan sekelab Rashid, Roslin Hashim ke-16, Ong Ewe Hock ke-18, Wong Choon Hann ke-19 dan Ismail Saman, yang menyertai semula Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lepas, ke-34.

Bagaimanapun Ewe Hock dan Choon Hann, yang menunjukkan prestasi cemerlang pada Terbuka Jepun yang sedang berlangsung di Tokyo, dijangka membaiki kedudukan ranking keluaran akan datang, yang akan menjadi asas pilihan bagi Kejohanan Dunia di Copenhagen bulan depan.

Menurut laporan sebelum ini, Rashid perlu berada dalam 16 tempat teratas ranking keluaran akan datang, yang dijangka pada 15 April, untuk menjamin tempatnya pada Kejohanan Dunia yang diadakan dua tahun sekali itu.

Bagi beregu lelaki, pasangan utama Malaysia Cheah Soon Kit dan Choong Tan Fook, yang tewas pada pusingan ketiga Terbuka Jepun semalam, menduduki tempat ketujuh, pasangan muda Chan Chong Ming dan Jeremy Gan menduduki tempat ke-18, manakala Tan Kim Her-Rosman Razak di tangga ke-21.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RTBC3RAy © Utusan Melayu (M) Bhd

Cuma Choon Hann masih berjuang

ARKIB : 10/04/1999
TOKYO - Pemenang pingat emas Sukan Komanwel XVI, Wong Choon Hann menjadi pemain tunggal Malaysia yang meneruskan cabaran ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun yang berlangsung di sini, semalam.

Choon Hann, yang sebelum ini mengejutkan pemain nombor tiga dunia, Budi Santoso dari Indonesia kelmarin kembali menyerlah apabila mengetepikan seorang lagi pemain dari negara itu, Marleve Mainaky 15-12, 15-11.

Bagaimanapun laluan getir menanti Choon Hann di separuh akhir apabila dijadual bertemu pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen dari Denmark.

Juara Seluruh England itu semalam menewaskan pemain muda Indonesia, Johan Hadikusuma 15-2, 15-4.

Namun di sebalik kejayaan Choon Hann, rakan senegara, Ong Ewe Hock terpaksa akur kepada kehebatan pemain pilihan keempat dari China, Sun Jun.

Begitu pun Ewe Hock memaksa lawannya bekerja keras dengan memenangi set pertama 15-11 sebelum tewas pada dua set berikutnya 4-15, 3-15.

Pasangan negara, Chan Chong Ming dan Jeremy Gan, yang tidak diletakkan sebagai pilihan pula terpaksa menyerah kepada kehebatan pasangan Antonius/Denny Kantono dari Indonesia yang diletakkan sebagai pilihan kedua. Atonius dan Denny menang 15-6, 15-3 dalam perlawanan suku akhir beregu lelaki.

Satu lagi separuh akhir hari ini menampilkan pertemuan dua pemain China, juara GP dunia, Sun Jun menentang juara Terbuka Perancis, Chen Hong yang mengetepikan juara dunia, Peter Rasmussen dari Denmark 17-14, 12-15, 15-13.

''Permainan saya jauh lebih baik sewaktu menjuarai Seluruh England. Usaha saya menjadikan kejohanan ini sebagai persiapan menghadapi kejohanan dunia, nyata menjadi,'' kata Gade Christensen.

Sementara itu, pemain Korea Selatan, Kim Ji-Hyun mengejutkan pemain nombor lima dunia, Zhou Mi untuk menjadi satu-satunya pemain bukan China beraksi pada separuh akhir perseorangan wanita hari ini.

Pemain berusia 24 tahun dari Pusan, yang menduduki ranking ke-41 dunia itu mengambil masa 74 minit sebelum mengejutkan Zhou, juara Terbuka Perancis, 3-11, 13-11, 11-8 yang juga pilihan keempat di sini.

Dalam perlawanan suku akhir yang lain, China membuktikan keunggulan apabila tiga pemainnya layak ke separuh akhir.

Juara bertahan, Gong Zhichao, yang diletak sebagai pilihan ketujuh, hanya mengambil masa 22 minit untuk mengetepikan pemain Jepun, Satomi Igawa 11-4, 11-3 untuk bertemu Kim di separuh akhir.

Juara dunia, Ye Zhaoying pula terpaksa bekerja keras sebelum menang ketika menentang rakan senegaranya, Zhang Ning. Ye menang 11-6, 7-11, 11-7 sementara Gong Ruina pula menewaskan pemain Jepun, Yasuko Mizui 11-0, 11-6.

''Saya fikir Zhou melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya,'' kata Kim, juara Terbuka Sweden 1998.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RT9roasV © Utusan Melayu (M) Bhd

Choon Hann kejutkan Budi Sontoso


 

ARKIB : 09/04/1999
Choon Hann kejutkan Budi Sontoso
ONG EWE HOCK

TOKYO - Dua pemain perseorangan negara, Wong Choon Hann dan Ong Ewe Hock serta pasangan beregu, Chan Chong Meng-Jeremy Gan meneruskan cabaran negara ke pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun, hari ini.

Pusingan ketiga kejohanan bernilai AS$180,000 (kira-kira RM684,000) semalam menyaksikan Choon Hann melakukan kejutan menewaskan pemain nombor tiga dunia Budi Sontoso dalam straight set 15-7, 17-14.

''Saya cukup bersabar dalam perlawanan hari ini (semalam) dan saya telah memenangi banyak mata dengan melakukan beberapa pukulan.

''Saya fikir dia terlalu agresif dan tidak sabar untuk mendapatkan mata,'' kata Choon Hann, 22 yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur tahun lalu.

Dalam perlawanan suku akhir hari ini, Choon Hann akan bertemu dengan seorang lagi pemain Indonesia, pemain pilihan ke-16, Marlene Mainaky yang telah menewaskan bintang harapan tempatan yang terakhir Keita Masuda 15-3, 15-7.

Dalam satu lagi perlawanan, Ewe Hock, pilihan ke-10 mengalahkan Luo Yigang naib juara tahun lalu dengan permainan tiga set 15-13, 2-15, 15-9 dalam perlawanan yang telah berlangsung selama 66 minit.

Sementara itu. bekas juara Remaja Dunia, Chong Ming-Jeremy menjadi beregu tunggal negara melepasi halangan pusingan ketiga.

Pasangan itu menempah tiket ke suku akhir setelah menewaskan beregu Taiwan, Le Wei Jen-Victo Wibowo 15-4, 15-6.

Dua lagi beregu negara, Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah-Chew Choon Eng mengakhiri cabaran mereka semalam.

Soon Kit-Tan Fook yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan tewas kepada beregu bukan pilihan, Liu Yong-Chen Qiqiu dari China 15-12, 15-10 sementara Wan Wah-Choon Eng kecundang juga 15-12, 15-10 kepada Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung dari Korea.

Dalam perlawanan perseorangan lelaki yang lain tiada keputusan mengejut berlaku dengan juara bertahan Peter Gade Christensen dari Denmark, pilihan keempat Sun Jun dari China dan juara Terbuka Jepun 1997 Peter Rasmussen dari Denmark turut mara.

sumbeArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RSoFMwNx -© Utusan Melayu (M) Bhd

Hock Kin kalah awal

ARKIB : 08/04/1999
TOKYO - Pemain utama negara, Yong Hock Kin yang diletakkan sebagai pilihan kelapan tewas mengejut kepada pemain Korea Selatan, Ahn Jae-Chang dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di sini, semalam.

Begitupun, dua lagi rakan senegara, Ong Ewe Hock dan Wong Choong Hann mara ke pusingan ketiga selepas mengalahkan pencabar masing-masing.

Hock Kin, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Bangkok terpaksa berhempas pulas sebelum menang set pertama 17-14, sebelum kalah 10-15 dan 7-15 pada set berikutnya.

Ewe Hock yang baru sembuh dari kecederaan kaki tiada masalah apabila mencatat kemenangan mudah ke atas pemain tuan rumah, Tsutomu Kinjo 15-3, 15-4, sementara Choong Hann, pilihan ke-11 mengalahkan Kazuhiro Shimogami juga dari Jepun dengan 15-8, 15-5;

Pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen mudah mengetepikan pemain Scotland, Bruce Flockhart 15-8, 15-4, tetapi empat lagi pemain pilihan menjadi mangsa apabila turut pada pusingan kedua.

''Saya menguasai gelanggang dan tidak menghadapi masalah memenanginya. Saya menantikan pertemuan menentang Dong Jiong,'' kata Christensen, yang juga juara bertahan kejohanan ini.

Bagaimanapun Dong, yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan dan merupakan juara Sukan Asia, gagal untuk menempah pertemuan menentang Christensen, apabila tewas kepada pemain dari Taiwan, Chien Yu-hsiu 10-15, 12-15.

Pilihan ketujuh, Hendrawan Hendrawan dari Indonesia, yang menang pingat perak di Bangkok pula kalah kepada Luo Yigang dari China 15-8, 11-15, 1-15.

Juara dua kali pada Terbuka Jepun, Heryanto Arbi dari Indonesia menewaskan bekas rakan sepasukannya, Ardy Wiranata, yang kini menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat dan mewakili negara itu, dengan 15-10, 9-15, 15-6.

Juara 1997, Peter Rasmussen dari Denmark pula menundukkan Chen Wei dari China 15-5, 10-15, 15-12 untuk turut mara ke pusingan ketiga.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RSj7bhHj © Utusan Melayu (M) Bhd

Rashid masih kekal pemain utama negara

ARKIB : 27/03/1999
PEMAIN Nusa Mahsuri, Rashid Sidek kekal sebagai pemain teratas negara untuk minggu kedua dengan menduduki tangga ke-10 ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam.

Kedudukan Rashid bagaimanapun merosot dua anak tangga berbanding tempat kelapan minggu lepas.

Kedudukan Yong Hock Kin juga menurun dari tangga ke-11 ke kedudukan ke-13 sementara Roslin Hashim di tangga ke-16, Ong Ewe Hock (17) dan Wong Choon Hann (18).

Pemain perseorangan Denmark, Peter Gade Christensen kekal sebagai pemain nombor satu dunia, sementara pemain Taiwan kelahiran Indonesia, Fung Permadi di tangga kedua.

Kedudukan juara pusingan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Dunia, Sun Jun dari China turut tergelincir apabila menduduki tempat kelapan, minggu ini.

Sementara itu, pemain beregu lelaki Indonesia terus menguasai ranking teratas dunia dengan lima pasangan menduduki enam tangga teratas.

Flanady Limpele-Eng Hian kekal di tangga teratas diikuti rakan senegara, Denny Kantono-Antonius Budi Ariantho di kedudukan kedua.

Pasangan Denmark, Jens Eriksen-Jesper Larsen memecahkan penguasaan pemain Indonesia dengan menempatkan diri di tangga ketiga.

Gandingan Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook menjadi beregu terbaik negara dengan menduduki tangga ketujuh, diikuti pasangan Tan Kim Her-Rosman Razak (17), Chan Chong Ming-Jeremy Gan (18), Pang Cheh Chang-Cheah Soon Toe (23).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4ROboCjI1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

Hock Kin ikut jejak Ong Ewe Hock

ARKIB : 27/02/1999
DUA pemain negara, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin berjaya menempah tiket ke separuh akhir setelah menjuarai kumpulan masing-masing pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Dunia di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei, semalam.

Hock Kin yang beraksi dalam kumpulan C mengesahkan tempat ke separuh akhir setelah menewaskan pemain Indonesia, H. Hendrawan 2-15, 15-13, 15-7 pada perlawanan sengit selama 55 minit.

Kemenangan itu merupakan yang kedua selepas Terbuka Taiwan 1997 daripada enam pertemuannya dengan pemain itu.

Ewe Hock bagaimanapun terpaksa memberi kemenangan mudah kepada Luo Yigang pada perlawanan akhir kumpulan B, setelah bengkak pada kaki kanannya semakin membesar.

Malah Ewe Hock terpaksa dimasukkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, selepas mengalami deman panas kesan daripada bengkak yang difahamkan akibat jangkitan cellulitis sebaik menamatkan perlawanan dengan Yigang itu.

Pemain berusia 27 tahun itu hanya beraksi selama 20 minit sebelum memberi kemenangan 15-4, 15-1 kepada Yigang yang tewas dua perlawanan sebelum ini.

Ewe Hock yang telah melayakkan diri ke separuh akhir kelmarin selepas memenangi dua perlawanan peringkat kumpulan dengan straight set akan berdepan dengan pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen, hari ini.

Hock Kin pula akan membuat penentuan dengan pemain nombor satu China, Sun Jun yang menewaskan Poul Erik Hoyer-Larsen 15-8, 15-4 dalam perlawanan penentuan kejuaraan kumpulan D.

Ewe Hock yang ditemui selepas perlawanan itu berkata, kakinya tiba-tiba bengkak sebelum pertemuan dengan Heryanto Arbi pada perlawanan kedua, kelmarin.

Namun ketika itu dia masih mampu beraksi dan menewaskan Heryanto 15-11, 15-2 untuk memastikan tempatnya ke separuh akhir, hari ini.

''Bengkak pada kaki kanan ini saya dirasai sejak semalam (kelmarin) sebelum bertemu Hariyanto, tetapi dia tidak begitu menyakitkan dan saya masih boleh bermain.

''Tetapi hari ini (semalam) ia semakin membengkak dan terasa sakit ketika bermain, sebab itu saya beri kemenangan mudah kepada Yigang,'' katanya yang ketika itu telah mula mengalami demam panas.

Sementara itu, jurulatih, Kwan Yoke Ming turut resah dengan kesihatan Ewe Hock yang terpaksa bermalam di hospital dan berharap pemain itu akan pulih menjelang perlawanan penting, hari ini.

Mengenai Hock Kin, beliau mengakui agak risau ketika pemain itu tewas 2-15 kepada Hendrawan di set pertama namun gembira dengan kebijaksanaan pemain itu menukar corak permainan untuk memenangi set kedua dan ketiga.

''Dia bertindak bijak untuk menukar corak permainan setelah tewas set pertama dan keputusannya bermain dekat net menyebabkan Hendrawan sukar mengangkat hantarannya itu,'' katanya.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Pu781Kjn © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 12 November 2016

Soon Kit - Tan Fook kian serasi


 

ARKIB : 30/01/1999
CHOONG TAN FOOK pasangan baru Cheah Soon Kit yang mula digandingkan baru-baru ini.

KEJAYAAN mara ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan yang berakhir minggu lepas membolehkan gandingan baru Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook melonjak ke tangga keenam ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam.

Pasangan baru itu memulakan cabaran 1999 dengan menduduki ranking ke-10 selepas kejayaan mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Terbuka Korea Selatan sebelum tumpas kepada pasangan Denmark, Jens Eriksen-Jesper Larsen dua minggu lalu.

Kedua-dua kejayaan itu memberi gambaran positif keserasian kedua-dua pemain selepas Soon Kit kehilangan pasangannya apabila Yap Kim Hock yang bergandingan dengannya selama empat tahun mengambil keputusan bersara selepas Sukan Komanwel September lepas.

Sementara itu, pemain Taiwan, Fung Permadi yang menjuarai dua kejohanan berturut-turut - Terbuka Korea Selatan dan Terbuka Taiwan dalam masa dua minggu melonjak untuk menduduki tangga kedua dunia di belakang pemain Denmark, Peter Gate Christensen yang masih kukuh di tangga teratas.

Fung yang menamatkan kemarau kejuaraan sejak tiga tahun lalu memulakan tahun 1999 dengan penuh kecemerlangan apabila menjuarai Kejohanan Terbuka Korea Selatan yang bertaraf enam bintang.

Kemenangannya itu membolehkannya melonjak ke kedudukan ke-11 ranking dunia minggu lepas.

Pemain kelahiran Indonesia yang berhijrah ke Taiwan itu kemudiannya menjuarai Terbuka Taiwan dengan menewaskan pemain negara, Rashid Sidek pada pusingan akhir.

Kejayaan itu membolehkannya terus memperbaiki kedudukan ranking dan kini berada di tangga kedua, tempat yang sebelum ini diisi seorang lagi pemain negara, Yong Hock Kin yang tidak menyertai kedua-dua kejohanan itu.

Rashid turut melonjak dari tangga ke-15 ke kedudukan ke10 dunia setelah berjaya mara ke pusingan akhir Terbuka Taiwan itu sementara Hock Kin turut ke kedudukan keempat.

Seorang lagi pemain negara, Ong Ewe Hock turut memperbaiki kedudukan dari tangga ke-10 ke kedudukan keenam.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Pri0Vz70 © Utusan Melayu (M) Bhd

Rashid akur pada Fung -- Badminton Terbuka Taiwan

ARKIB : 25/01/1999
KEMARAU kejuaraan masih belum berakhir buat pemain veteran Nusa Mahsuri, Rashid Sidek apabila tewas kepada pemain tuan rumah, Fung Permadi pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan yang berakhir semalam.

Rashid yang kali terakhir menyandang gelaran juara pada Terbuka Jerman tiga tahun lalu sekali lagi terpaksa beraksi hingga ke set penentuan sebelum akur dengan keputusan perlawanan.

Pada peringkat separuh akhir kelmarin, Rashid juga terpaksa mengharungi permainan tiga set sebelum menumpaskan Kenneth Jonassen 8-15, 17-16, 15-6 untuk menjejak kaki ke perlawanan akhir.

Dia juga memaksa pemain muda Indonesia, Budi Santoso bermain tiga set sebelum menumpaskannya pada pusingaan terdahulu.

Semalam, pemain berusia 30 tahun itu tewas 16-17 pada set pertama, namun bangkit untuk memenangi set kedua 15-7 bagi memaksa perlawanan diteruskan ke rubber-set.

Namun setelah beraksi selama kira-kira 68 minit, kejuaraan akhirnya menjadi pemain kelahiran Indonesia yang kini berhijrah ke Taiwan, dengan memenangi set penentuan 15-6 untuk menambah koleksi kemenangannya tahun ini.

Minggu lalu, Fung menamatkan kemarau kejuaraan tiga tahunnya apabila memenangi Kejohanan Terbuka Korea Selatan yang bertaraf enam bintang.

Kemenangan itu melonjakkan nama Fung ke tangga ke-11 ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan kelmarin.

Sementara itu, jurulatih Nusa Mahsuri, Misbun Sidek berpuas hati dengan prestasi dan keupayaan yang ditunjukkan oleh adiknya.

Menurut Misbun, keupayaan Rashid beraksi sebanyak tiga set dalam tiga pertemuan sepanjang kejohanan itu membuktikan peningkatan tahap stamina pemain itu.

''Perlawanan tadi (semalam) memang sengit dengan kedua-dua pemain kecergasan dan gaya yang lebih kurang sama.

''Walaupun Rashid masih belum meraih kejuaraan namun saya puas hati dengan peningkatan prestasi dan keupayaannya menerima tekanan.

''Fung semenangnnya mempamerkan permainan yang baik untuk memenangi kejohanan ini,'' katanya yang dihubungi di Taiwan, semalam.

Dengan kemenangan itu Fung meraih hadiah wang tunai AS$6,200 (RM23,560) sementara Rashid membawa pulang AS$3,800 (RM14,440).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Pqniqiuc © Utusan Melayu (M) Bhd

Cheah-Choong tempat ke-10 -- Kedudukan ranking IBF dikeluarkan semalam


 

ARKIB : 24/01/1999
CHEAH SOON KIT.

KEJAYAAN mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan minggu lepas membolehkan gandingan baru, Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook menduduki ranking ke-10 Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) yang dikeluarkan semalam.

Kejohanan bertaraf enam bintang yang dipertandingkan minggu lepas merupakan pertandingan pertama beregu yang digandingkan selepas Sukan Komanwel itu.

Sementara itu ranking pemain perseorangan negara, Yong Hock Kin tidak berubah walaupun tidak menyertai kejohanan itu.

Hock Kin kekal di tangga kedua di belakang Peter Gate Christensen dari Denmark dengan 219.38 mata. Juara Terbuka Indonesia itu dinasihatkan agar menarik diri daripada kejohanan itu dan menumpukan kepada persiapan menghadapi Grand Prix akhir di Brunei bulan depan selepas prestasinya merosot.

Walaupun Terbuka Korea bertaraf enam bintang namun kejayaan pemain Taiwan, Fung Pemardi yang menduduki ranking lebih rendah tidak mengubah kedudukan ranking dua pemain teratas. Pemain kelahiran Indonesia yang kali terakhir menjuarai Grand Prix akhir 1996 di Bali kini melonjak ke tangga ke-11 dunia.

Dalam pada itu, ranking tiga lagi pemain perseorangan utama negara termasuk dua pemain Nusa Mahsuri merosot setelah tewas pada dua pusingan pertama.

Roslin Hashim yang sebelum ini berada di tangga ke-10 kini tergelincir ke kedudukan ke-16 setelah gagal mara ke pusingan kedua.

Rashid Sidek yang sekadar mara ke pusingan kedua pula turut dari ke tangga 15 dari kedudukan ke-12 sementara Ong Ewe Hock turun satu anak tangga ke tempat ke-10.

KEDUDUKAN RANKING
Perseorangan lelaki: 1. Peter Gade Christensen (DEN); 2. YONG HOCK KIN (MAS); 3. Poul-Erik Hoyer Larsen (DEN); 4. Chen Gang (CHN); 5. Kenneth Jonassen (DEN); 6. Budi Santoso (INA); 7. H. Hendrawan (INA); 8. Sun Jun (CHN); 9. Dong Jiong (CHN); 10. ONG EWE HOCK (MAS).

Pemain negara: 13. Wong Choong Hann; 15. Rashid Sidek; 16. Roslin Hashim; 28. Ismail Saman.

Beregu lelaki: 1. Flandy Limpele-Eng Hian (INA); 2. Ricky Subagja-Rexy Mainaky (INA); 3. Jens Eriksen-Jesper Larsen (DEN); 4. Peter Axelsson-Par Gunnar Jonsson (SWE); 5. Candra Wijaya-Tony Gunawan (INA); 6. Chris Hunt-Simon Archer (ENG); 7. Liu Yong-Yu Jinhao (CHN); 8. Tony Gunawan-Haryanto Halim (INA); 9. Zhang Wei-Zhang Jun (CHN); 10. Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook (MAS).

Perseorangan wanita: 1. Camilla Martin (DEN); 2. Ye Zhaoying (CHN); 3. Zhou Mi (CHN); 4. Zhang Ning (CHN); 5. Mia Audina (INA).

Beregu wanita: 1. Marlene Thomsen-Rikke Olsen (DEN); 2. Qin Yiyuan-Tang Hetian (CHN); 3. Ge Fei-Gu Jun (CHN); 4. Huang Nanyan-Yang Wei (CHN); 5. Ann Jorgensen-Majken Vange (DEN).

Beregu campuran: 1. Michael Sogaard-Rikke Olsen (DEN); 2. Simon Archer-Joanne Goode (ENG); 3. Jon Holst-Christensen-Ann Jorgensen (DEN); 4. Trikus Heryanto-Minarti Timur (INA); 5. Jens Eriksen-Marlene Thomsen (DEN).
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PqVPpVGh © Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 24/01/1999
Skuad negara perlukan pendedahan

LEBIH banyak perlawanan antarabangsa akan diatur untuk pasukan bola sepak negara dalam usaha mempertingkatkan kebolehan para pemain.

Badminton Terbuka Taiwan Rashid mara

ARKIB : 22/01/1999
BEKAS pemain nombor satu negara, Rashid Sidek, Roslin Hashim, Ong Ewe Hock dan pasangan beregu Cheah Soon Kit/Choong Tan Fook berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan selepas menewaskan pencabar masing-masing, semalam.

Rashid menang ke atas pemain Indonesia, Budi Santoso 15-12, 7-15, 17-15, Roslin menewaskan Ronny Agustinus 15-11, 15-9, Ewe Hock menang ke atas Kita Matsuda dari Jepun 15-6, 9-15, 15-13.

Manakala Soon Kit/Tan Fook menewaskan beregu Korea, Lee Dong Soon/Ha Tae Kwon 15-13, 9-15, 15-9.

Dua lagi pasangan beregu negara, Jeremy Gan/Chan Chong Ming dan Tan Kim Her/Rosman Razak bagaimanapun menerima nasib malang apabila tersingkir daripada persaingan.

Pada pertemuan dengan Budi, semalam, Rashid diberi tentangan sengit yang menyaksikan perlawanan berlanjutan sehingga rubber game. Rashid menang 15-12 pada set pertama, tetapi tewas 15-7 dalam set kedua.

Set ketiga menyaksikan pertarungan antara dua pemain itu bertambah sengit sehingga pada satu ketika Rashid mendahului Budi 8-1, tetapi Budi yang menewaskan jaguh Nusa Mahsuri itu pada separuh akhir Terbuka Hong Kong tahun lalu berjaya mengejar Rashid sehingga mendahului 14-13.

Rashid yang mempunyai misi membalas dendam ke atas Budi - yang muncul juara Terbuka Hong Kong itu - bangkit untuk mengutip mata berharga yang memaksa perlawanan berlanjutan ke deuce selepas kedudukan mata terikat 14-14.

Namun, pengalaman yang ada pada bintang Nusa Mahsuri itu membantunya untuk menang 17-15 untuk menempah tempat ke suku akhir.

Rashid akan menentang pemain muda China yang semakin meningkat naik, Chen Hong pada suku akhir, hari ini.

Chen Hong - yang dianggap Misbun bakal menggantikan kehebatan Dong Jiong atau Sun Jun suatu hari nanti - mengalahkan pemain Indonesia, Irwanshah pada pusingan ketiga.

''Saya jangka suku akhir antara Rashid dengan Chen Hong lebih sengit. Chen Hong bermain dengan strategi pantas dan mampu berlari ke segenap sudut gelanggang untuk mengembalikan bola, ia sesuatu yang sukar bagi Rashid tetapi saya percaya Rashid mampu menjinakkan pemain itu pada suku akhir nanti,'' kata jurulatih Misbun Sidek ketika dihubungi di Taiwan, semalam.

Misbun berkata, anak buahnya mempamerkan kesungguhan menakjubkan selepas gagal beraksi cemerlang pada Terbuka Korea.

''Rashid bermain bersungguh-sungguh yang menunjukkan dia benar-benar mahu membalas dendam di atas kekalahannya pada Terbuka Hong Kong, tahun lalu.

''Walaupun pada satu ketika dia hampir tewas pada set ketiga, tetapi semangat tinggi pemain itu menyatakan semuanya,'' ujar Misbun.

Mengenai Roslin, Misbun sudah menjangka pemain itu akan melepasi halangan pusingan ketiga itu.

''Roslin juga mempunyai misi balas dendam, tetapi pada suku akhir nanti apabila bertemu Kenneth Jonassen dari Denmark.

''Dia mahu menewaskan Kenneth yang pernah mengalahkannya pada Piala Thomas lalu,'' katanya.

Jika Rashid dan Roslin berjaya melepasi suku akhir, kedua-dua pemain itu akan bertarung sesama sendiri pada separuh akhir jika mengikut undian perlawanan.

Suber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PoSdvC5h © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 11 November 2016

Badminton Terbuka Korea -- Persembahan baik awal tahun '99

ARKIB : 18/01/1999
WALAUPUN pemain negara gagal meraih gelaran pada kejohanan Terbuka Korea, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menyifatkannya sebagai pembuka tirai 1999 yang baik.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Mohd. Al-Amin Majid, berkata keseluruhannya pemain negara mempamer aksi memuaskan pada kejohanan enam bintang itu, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

''Perlawanan awal memang sering memberi keputusan tidak menentu buat mana-mana pemain, tetapi saya puas hati aksi pemain negara,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Al-Amin, beliau yakin pemain negara akan kembali dengan persembahan sebenar di Terbuka Taiwan yang bermula esok.

''Jika mengikut ranking pemain negara sepatutnya tiada masalah untuk sekurang-kurangnya ke separuh akhir, tetapi semuanya bergantung kepada undian,'' katanya lagi.

Pada Terbuka Korea yang berakhir semalam, hanya pasangan Cheah Soon Kit-Choong Tan Fook berjaya mara ke separuh akhir, sebelum tunduk 15-8, 13-15, 10-15 kepada beregu Denmark, Jens Eriksen-Jesper Larsen.

Beregu Rosman Razak-Tan Kim Her pula sekadar ke suku akhir, manakala dua beregu lain Chan Chong Ming-Jeremy Gan dan Pang Cheh Chang-Cheah Soon Thoe kecundang di pusingan awal.

Keputusan perseorangan lelaki lebih mengecewakan apabila tiada seorangpun daripada sembilan wakil negara berjaya melepasi pusingan kedua.

Bekas naib juara Seluruh England, Ong Ewe Hock gagal pada penampilan sulung selepas enam bulan berehat akibat kecederaan.

Tiga pemain Nusa Mahsuri, Roslin Hashim, Rashid Sidek dan Ismail Saman serta lima pemain negara lain, James Chua, Yap Yong Jyen, Yeoh Kay Bin, Lee Tsuen Seng dan Pei Wei Chung turut kandas awal.

''Saya tidak kecewa hanya kerana kegagalan pada kejohanan awal. Keputusan ini tidak boleh dijadikan ukuran persembahan akan datang.

''Saya gembira permainan Soon Kit dan Tan Fook, mereka berjaya mara ke separuh akhir walaupun hampir tiga bulan tidak beraksi kerana kecederaan Tan Fook,'' katanya.

Menurut Mohd. Al-Amin, Malaysia akan membariskan pemain yang sama di Taiwan, tanpa menurunkan pemain nombor dua dunia, Yong Hock Kin dan juara Sukan Komanwel, Wong Choon Hann.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, pemain nombor satu Taiwan, Fung Permadi muncul juara perseorangan lelaki selepas menumpaskan Stuer-Laudridsen dari Denmark 17-14, 15-6.

Dalam perseorangan wanita, Zhou Mi dari Chima menumpaskan rakan senegara, Gong Ruina 11-6, 13-12 pada perlawanan akhir untuk muncul juara.

Bagi acara beregu lelaki, Flandy Limpele/Eng Hian dari Indonesia menewaskan pasangan Denmark, Jesper Larsen/Jens Eriksen, 6-15, 15-7, 15-9.

Sementara beregu wanita, pasangan China, Yang Wei/Huang Nanyan menewaskan rakan senegara Ge Fei/Zhang Ning 15-10, 15-1 untuk muncul juara.

Dalam beregu campuran, pasangan Korea, Kim Dong-Moon/Ra Kyung-Min menumpaskan pasangan China, Liu Yong/Ge Fei (Chn), 15-6, 15-8.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PiO90Jn4 © Utusan Melayu (M) Bhd