Ahad, 6 November 2016

Hock Kin impikan juara Seluruh England


 

ARKIB : 03/11/1998
Hock Kin impikan juara Seluruh England
YONG HOCK KIN menunjukkan piala yang dimenanginya selepas menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta kelmarin sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam.

SETELAH menjadi pemain pertama negara menjuarai acara perseorangan pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, kini Yong Hock Kin mahu meraih gelaran juara Seluruh England, tahun depan.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel XVI itu kini semakin berani menyatakan sasarannya untuk memburu kejuaraan pertandingan berprestij itu.

''Saya berharap untuk mendapat gelaran juara Seluruh England tahun depan,'' kata pemain yang sememangnya dikenali dengan sikap pemalunya ketika berada di luar gelanggang.

Malah pemain berusia 24 tahun itu juga kini semakin yakin mampu mencapai sasarannya merampas kedudukan Ong Ewe Hock sebagai pemain nombor satu negara, tahun depan.

''Sasaran saya mahu menduduki ranking kelima dunia tahun depan,'' katanya ringkas.

Namun sasaran itu semakin dihampiri kerana dia yang kini menduduki ranking kelapan dunia dijangka melonjak beberapa anak tangga berdasarkan kejayaannya di Jakarta.

Mengenai kejayaannya menggegarkan Stadium Istora, Senayan dengan menjuarai kejohanan yang selalunya dikuasai pemain tuan rumah, Hock Kin berkata, keletihan lawannya, Budi Santoso memberi sediki kelebihan kepadanya.

Namun menurutnya, pertarungan menentang pemain muda Indonesia, Jeffer Rosobin pada pusingan ketiga dianggapnya sebagai perlawanan paling mencabar sepanjang kejohanan bernilai AS$120,000 (kira-kira RM456,000) itu.

Kemenangan 15-5, 15-7 keatas pemain tuan rumah itu menjadikannya pemain perseorangan tunggal negara mara ke pusingan seterusnya.

Selain menerima hadiah kemenangan bernilai AS$9,600 (kira-kira RM36,480), Hock Kin turut dijanjikan ganjaran daripada penajanya, Carlton yang mengikat kontrak bernilai RM100,000 setahun sejak Mei lalu.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PDHkwUv6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan