Khamis, 10 November 2016

Badminton Terbuka Hong Kong -- Rashid terkandas

ARKIB : 29/11/1998
RASHID Sidek gagal meneruskan kemaraan Malaysia pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong, apabila tunduk kepada Budi Santoso dari Indonesia, pada perlawanan separuh akhir di Stadium Queen Elizabeth, malam tadi.

Perseorangan Nusa Mahsuri itu terlalu lemah untuk menyaingi naib juara Terbuka Indonesia, Budi apabila tunduk mudah 15-5, 15-4.

Kekalahan Rashid, 30, dalam masa tidak sampai 30 minit itu juga hampir pasti menyingkirkannya daripada mengisi ranking 14 terbaik dunia dan sekali gus beraksi pada pusingan akhir Grand Prix Dunia di Brunei, tahun depan.

''Dia (Rashid) nampak keletihan selepas dipaksa beraksi dalam rubber-set di suku akhir semalam (kelmarin),'' kata jurulatih Nusa, Misbun Sidek.

Pada perlawanan suku akhir kelmarin, Rashid dikerah beraksi dalam tiga set, sebelum menang 15-3, 12-15, 15-13 ke atas rakan senegara Budi, Jeffer Rosobin.

Budi, yang tewas kepada perseorangan utama negara, Yong Hock Kin di akhir Terbuka Indonesia minggu lalu, akan berdepan pemain nombor sepuluh dunia dari China, Chen Gang di perlawanan akhir hari ini.

Chen mara selepas mengejutkan pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen dari Denmark 15-10, 15-9 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

KEPUTUSAN:
Perseorangan lelaki, separuh akhir: RASHID SIDEK (MAS) kk Budi Sontoso (CHN) 5-15, 4-15; Pete Gade Christensen kk Chen Gang (CHN) 10-15, 9-15.

Perseorangan wanita, separuh akhir: Camilla Martin (DEN) kln Ling Wan-ting (HK) 11-4, 11-8; Lidya Djaelawuaya (INA) kln Chan Ya-ling (TPE) 11-6, 13-10.

Sumber-arkib um ARKIB : 29/11/1998

Tiada ulasan:

Catat Ulasan