Ahad, 13 November 2016

Hock Kin ikut jejak Ong Ewe Hock

ARKIB : 27/02/1999
DUA pemain negara, Ong Ewe Hock dan Yong Hock Kin berjaya menempah tiket ke separuh akhir setelah menjuarai kumpulan masing-masing pada pusingan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Dunia di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, Brunei, semalam.

Hock Kin yang beraksi dalam kumpulan C mengesahkan tempat ke separuh akhir setelah menewaskan pemain Indonesia, H. Hendrawan 2-15, 15-13, 15-7 pada perlawanan sengit selama 55 minit.

Kemenangan itu merupakan yang kedua selepas Terbuka Taiwan 1997 daripada enam pertemuannya dengan pemain itu.

Ewe Hock bagaimanapun terpaksa memberi kemenangan mudah kepada Luo Yigang pada perlawanan akhir kumpulan B, setelah bengkak pada kaki kanannya semakin membesar.

Malah Ewe Hock terpaksa dimasukkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, selepas mengalami deman panas kesan daripada bengkak yang difahamkan akibat jangkitan cellulitis sebaik menamatkan perlawanan dengan Yigang itu.

Pemain berusia 27 tahun itu hanya beraksi selama 20 minit sebelum memberi kemenangan 15-4, 15-1 kepada Yigang yang tewas dua perlawanan sebelum ini.

Ewe Hock yang telah melayakkan diri ke separuh akhir kelmarin selepas memenangi dua perlawanan peringkat kumpulan dengan straight set akan berdepan dengan pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen, hari ini.

Hock Kin pula akan membuat penentuan dengan pemain nombor satu China, Sun Jun yang menewaskan Poul Erik Hoyer-Larsen 15-8, 15-4 dalam perlawanan penentuan kejuaraan kumpulan D.

Ewe Hock yang ditemui selepas perlawanan itu berkata, kakinya tiba-tiba bengkak sebelum pertemuan dengan Heryanto Arbi pada perlawanan kedua, kelmarin.

Namun ketika itu dia masih mampu beraksi dan menewaskan Heryanto 15-11, 15-2 untuk memastikan tempatnya ke separuh akhir, hari ini.

''Bengkak pada kaki kanan ini saya dirasai sejak semalam (kelmarin) sebelum bertemu Hariyanto, tetapi dia tidak begitu menyakitkan dan saya masih boleh bermain.

''Tetapi hari ini (semalam) ia semakin membengkak dan terasa sakit ketika bermain, sebab itu saya beri kemenangan mudah kepada Yigang,'' katanya yang ketika itu telah mula mengalami demam panas.

Sementara itu, jurulatih, Kwan Yoke Ming turut resah dengan kesihatan Ewe Hock yang terpaksa bermalam di hospital dan berharap pemain itu akan pulih menjelang perlawanan penting, hari ini.

Mengenai Hock Kin, beliau mengakui agak risau ketika pemain itu tewas 2-15 kepada Hendrawan di set pertama namun gembira dengan kebijaksanaan pemain itu menukar corak permainan untuk memenangi set kedua dan ketiga.

''Dia bertindak bijak untuk menukar corak permainan setelah tewas set pertama dan keputusannya bermain dekat net menyebabkan Hendrawan sukar mengangkat hantarannya itu,'' katanya.

Oleh: SRY ANGRENI MOHD. ZET

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Pu781Kjn © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan