Sabtu, 5 November 2016

TERBUKA INDONESIA - Hock Kin masuk akhir

ARKIB : 01/11/1998
JAKARTA - Jaguh perseorangan negara, Yong Hock Kin terus mengibarkan 'Jalur Gemilang' di Stadium Istora Senayan, apabila melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, malam tadi.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel XVI itu menumpaskan bintang remaja Indonesia, Taufik Hidayat menerusi kemenangan straight-set 15-10, 15-4 pada perlawanan separuh akhir.

Kemenangan itu akan menemukan Hock Kin dengan seorang lagi pemain tuan rumah, Budi Santoso, yang mengejutkan juara Sukan Olimpik, Paul-Erik-Hoyer Larsen dari Denmark, 17-14, 17-14 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Hock Kin, yang mendapat kemenangan percuma pada suku akhir selepas penarikan diri bekas juara dunia, Heryanto Arbi, terpaksa beraksi di bawah tekanan lebih 8,000 penyokong tempatan.

Juara kebangsaan itu terpaksa berhempas pulas pada set pertama dan memerlukan hampir 45 minit sebelum mengetepikan Hidayat, yang mengejutkan pemain pilihan dan rakan senegara, Hendrawan di suku akhir.

Hock Kin, ranking kelapan dunia bagaimanapun tidak menghadapi tentangan pada set kedua, apabila hanya memerlukan 20 minit sebelum menang 15-4.

Sementara itu Ketua Jurulatih Kebangsaan, Morten Frost Hansen berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Hock Kin berbanding sebelumnya.

''Jika dia berjaya mengekalkan prestasinya seperti malam ini (malam tadi), peluangnya untuk menjuarai kejohanan ini agak besar,'' katanya.

Bagaimanapun, Frost tidak berani meramalkan apakah nasib akan menyebelahi Hock Kin kerana lawannya itu akan bermain di depan penyokong sendiri serata berpengalaman beraksi di peringkat dunia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PBhlKPOF © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan