Jumaat, 25 Jun 2021

Zii Jia di prestasi terbaik - Hendrawan

BERNAMA



Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia jadi taruhan memburu pingat di Olimpik Tokyo. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia berada dalam prestasi terbaik dan mampu melakar keputusan positif pada Sukan Olimpik Tokyo bulan depan, walaupun tanpa aksi kompetitif sejak Mac lalu.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata Zii Jia telah banyak belajar dari pengalaman lepas selain percaya persiapan anak buahnya itu tidak terjejas meskipun tidak menyertai sebarang kejohanan hampir empat bulan setelah kali terakhir beraksi pada Kejuaraan Seluruh England 2021.

Zii Jia mencipta sensasi selepas muncul juara Seluruh England 2021 dengan menewaskan juara bertahan yang juga pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final di Birmingham.

"Saya percaya Zii Jia boleh mengawal situasi dengan lebih baik kali ini. Barisan kejurulatihan kini berusaha membantunya menerusi beberapa program termasuk meningkatkan kekuatan fizikal dan corak latihannya serta adakan perlawanan ujian sama seperti kejohanan sebenar sebelum ke Tokyo," katanya.

Selepas muncul juara kejohanan badminton tertua dunia di England, hasrat pemain kelapan terbaik dunia itu untuk memantapkan prestasinya bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tidak kesampaian susulan pembatalan Terbuka Malaysia Mei lalu dan Terbuka Singapura awal bulan ini berikutan situasi pandemik Covid-19 yang masih melanda dunia.

Situasi sama pernah berlaku kepada pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini apabila terpaksa 'berehat panjang' hampir setahun ekoran pembatalan kejohanan badminton akibat Covid-19 sebelum kembali beraksi di tiga kejohanan di Bangkok, Thailand awal tahun ini.

Namun, Zii Jia menampilkan persembahan hambar dalam tiga kejohanan itu selain terkandas di peringkat separuh akhir Terbuka Switzerland 2021 sebelum bangkit memperagakan aksi luar biasa menjulang kejuaraan Seluruh England 2021.

Sementara itu, Hendrawan yakin kehadiran pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren sebagai rakan sepelatih Zii Jia sejak 24 Mei lalu dapat membantunya mempersiapkan diri menjelang Sukan Olimpik Tokyo, dijadual berlangsung 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Sebagai pemain senior, Daren mungkin boleh bantu Zii Jia, bukan sahaja dari sisi latihan tetapi pengalaman, cara hadapi tekanan serta kualiti sparring," katanya.

Pemain kelahiran Kedah yang bakal membuat penampilan pertamanya pada temasya sukan terbesar dunia itu pastinya antara pencabar pingat di Tokyo susulan kejayaannya menjulang1 kejuaraan Seluruh England 2021.

Disiarkan pada: Jun 25, 2021 @ 7:22pm.2

_________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2021/06/722626/zii-jia-di-prestasi-terbaik-hendrawan

2https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2021/06/722626/zii-jia-di-prestasi-terbaik-hendra

Tiada ulasan:

Catat Ulasan