Khamis, 7 April 2016

Chong Wei janji aksi terbaik

07 April 2016 12:26 AM
 Lee CHONG WEI membalas pukulan ketika menentang Takuma Ueda dalam
LEE CHONG WEI membalas pukulan ketika menentang Takuma Ueda dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam semalam. UTUSAN/Suriya Bonma
SHAH ALAM – Turun dengan misi memburu kejuaraan ke-11, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei memulakan kempen kejohanan badminton Terbuka Malaysia dengan meyakinkan apabila melangkah ke pusingan kedua selepas mudah mengetepikan pemain muda Jepun, Takuma Ueda di Stadium Malawati, semalam.
Walaupun masih dibayangi dengan kekalahan awal dalam dua kejohanan terakhir, juara 2014, 2013, 2012, 2011, 2010, 2009, 2008, 2006, 2005 dan 2004 itu tidak menunjukkan tanda menghadapi masalah prestasi apabila hanya memerlukan 33 minit untuk menang 21-11, 21-8.
Kemenangan itu bakal me­nemukan Chong Wei dengan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho, yang mara selepas menewaskan pemain muda negara, Goh Soon Huat 21-16, 5-21, 21-13.
“Kejohanan ini sangat berbeza dengan pertandingan lain yang saya sertai kerana saya bermain di depan penyokong sendiri. Bukan itu saja, persaingan juga semakin sengit kerana pemain sedang be­kerja keras untuk mencari mata kelayakan Sukan Olimpik Rio.
“Saya rasa, kekalahan saya dalam dua kejohanan sebelum ini berpunca daripada sikap saya yang terlalu mahukan kemena­ngan, dan itu menyebabkan saya melakukan kesilapan mudah sewaktu mata penting.
“Saya akan beraksi sebaik mungkin di sini dan akan cuba untuk menghabiskan permainan dengan cepat, seperti hari ini, permai­nan saya agak berlainan berbanding sebelum ini,” kata Chong Wei.
Sementara itu, cabaran Malaysia dalam kejohanan Siri Super Premier bernilai AS$550,000 (RM2.15 juta) itu turut diteruskan dua beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
V Shem-Wee Kiong mudah mengetepikan pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin 21-10, 21-16. Namun, cabaran getir menanti pasangan utama negara itu apabila bakal ditentang beregu No. 1 dunia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan hari ini.
Yong Dae-Yeon Seong, yang memegang rekod 3-1 ke atas V Shem-Wee Kiong mara selepas menumpaskan pasangan utama Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 21-8, 21-19.
Juara 2007 dan 2006, Kien Keat-Boon Heong pula dipaksa berhempas pulas untuk menyingkirkan pasangan Jepun, Takeshi Kamura- Keigo Sonoda 21-19, 24-26, 21-17 dalam pertarungan satu jam, 12 minit.
Dalam beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei melangkah ke pusingan kedua dengan menundukkan pasangan Jerman, Isabel Herttrich- Birgit Michels 21-17, 21-14.
Juara Terbuka New Zealand, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula melepasi halangan awal beregu campuran dengan menum­paskan gandingan Indonesia, Riky Widianto-Puspita Richi Dili 21-15, 21-18 untuk menempah pertemuan dengan pasangan No. 5 dunia dari China, Xu Chen-Ma Jin 21-10, 21-12.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/chong-wei-janji-aksi-terbaik-1.217327#sthash.luQR0rK4.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan