Ahad, 30 Ogos 2020

Chong Wei sebak, bangga

MyMetroAren

Chong Wei mengalas tanggungjawab pembawa Jalur Gemilang di Olimpik Rio 2016.

Saiful Affendy Sapran

saifulaffendy@hmetro.com.my

IKON badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mendedahkan betapa dia cukup berbangga sehingga menitiskan air mata ketika diberi tanggungjawab selaku pembawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan rasmi temasya Sukan Olimpik Rio 2016.


Malah Chong Wei juga mendedahkan kisah sebelum detik bersejarah itu yang menyaksikannya hampir terlepas menggalas tugas berkenaan selepas tangannya bengkak akibat terkena raket pada sesi latihan.


"Motivasi masa itu memang setinggi Gunung Kinabalu. Diminta latihan yang lagi intensif. Malang sungguh tak berbau, dalam satu pukulan lift, raket terpukul tangan kiri."Tergamam semua. Saya ingat mungkin patah tangan kiri. Nasib baik selepas diperiksa doktor, tulang selamat tapi perlu dibalut ais untuk meredakan bengkak.


"Petang itu, kami kontinjen Malaysia semua beransur ke Stadium Maracana. Perempuan pakai baju kebaya oren. Lelaki pakai songkok dan baju Melayu oren.



Kontinjen negara yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Rio 2016. FOTO LCW

"Memang team paling hansome (kacak) paling lawa malam itu. Pihak penganjur datang membawa bendera Malaysia.


"Baru ingat nak main kibar bendera macam wayang perang Samurai, terus jam. Amboi! Berat juga si Jalur Gemilang ini," katanya di akaun Facebook miliknya sempena Hari Kebangsaan.


Chong Wei mengakui tangan kirinya berasa sakit ketika menampung berat Jalur Gemilang itu namun dia tetap meneruskan tanggungjawab diberikan.


Cerita Chong Wei lagi, beberapa minit sebelum perarakan masuk ke dalam stadium, dia sempat berborak dengan kontinjen Madagascar yang beratur di depan kontinjen negara yang menyatakan bendera Malaysia sangat cantik tapi agak rumit berbeza corak bendera mereka yang sangat ringkas.


"Entah dari mana datangnya semangat, pandai pula saya jawab. Brother, ini bukan sekadar bendera. Ia lambang perpaduan satu keluarga besar. Ia Negara saya. Ia satu tempat di mana keharmonian dan kebahagiaan dihargai dan dikecapi. Ia keluarga saya, rumah syurga saya.


"Kemudian, mulalah perarakan kontinjen Malaysia ke dalam Stadium Maracana. Terbasah sikit juga di mata. Bukanlah kerana sakit di tangan, tetapi kebanggaan menjulang bendera Malaysia, menjulang harapan jutaan rakyat Malaysia, menjulang nama negaraku, rumahku, Malaysiaku," katanya.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 7:12 PM