WARTAWAN SINAR HARIAN
26 DISEMBER 2016
2016 detik terindah badminton
Tiga perak dimenangi di Olimpik Rio 2016 julang kembali arena badminton negara.
KALENDAR badminton tanah air
sepanjang tahun ini dipenuhi pelbagai warna-warni detik indah dan paling mencuri
tumpuan pastinya kejayaan merangkul tiga pingat perak di Sukan Olimpik Rio,
Ogos lalu.
Jika Sukan Olimpik sebelum ini
sandaran pingat negara hanya diletakkan di bahu pemain nombor satu dunia, Datuk
Lee Chong Wei tetapi tahun ini Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) turut menjadi penyumbang pingat
kepada Malaysia di pentas sukan paling berprestij di dunia itu.
Kejayaan itu dianggap
pencapaian agak luar biasa kerana pada temasya sebelum ini, hanya perak yang
mampu dibawa pulang pada Olimpik 2012 di London menerusi pemain perseorangan
lelaki negara, Chong Wei.
Sebelum itu, pada temasya di
Beijing, China (2008) skuad badminton turut meraih satu pingat perak juga
menerusi Chong Wei.
Selain itu, kisah beregu utama
negara, V Shem-Wee Kiong turut menjadi topik hangat di dada-dada akhbar
tempatan.
Manakan tidak, pasangan negara
itu kini mampu berdiri sebaris dengan Chong Wei apabila mereka berjaya merampas
kedudukan nombor satu dunia dalam senarai ranking Persekutuan Badminton Dunia
(BWF).
Biarpun pada awal tahun
prestasi membimbangkan, namun selepas membawa pulang pingat perak di Olimpik, V
Shem-Wee Kiong dilihat semakin konsisten terutama ketika mereka meraih gelaran
sulung pada Siri Super Akhir di Dubai, dua minggu lalu.
Selain menggondol pingat perak
Sukan Olimpik, mereka juga sudah memperoleh dua kejuaraan di Terbuka Denmark
dan Masters India.
Bagi Chong Wei pula,
prestasinya tetap membanggakan walaupun
gagal meraih kejuaraan penting seperti Terbuka All England.
Dengan umurnya yang semakin
dimamah usia, jaguh negara itu membuktikan dia masih berada dalam kelas
tersendiri.
Sepanjang 2016, Chong Wei
meraih tiga gelaran Siri Super di Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia dan
Terbuka Jepun termasuk menerima Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan
Badminton Dunia (BWF) kali kelima.
Tahun ini turut menyaksikan
Malaysia menjadi naib juara bagi acara berpasukan campuran pada Kejohanan
Badminton Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol sekali gus memperbaiki pencapaian
kedudukan kelima dalam edisi lalu.
Walaupun gagal dalam percubaan
merampas semula kejuaraan Piala Thomas dalam edisi kali ini selepas tersingkir
pada separuh akhir kepada Denmark namun yang penting tahun 2016 menyaksikan
keseimbangan secara menyeluruh skuad negara.
Ini kerana, Persatuan Badminton
Malaysia (BAM) berjaya mengetengahkan
bakat baharu untuk memberi saingan di pentas kejohanan utama seperti Goh Jin
Wei (perseorangan wanita), Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon
Lai (beregu campuran) serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki).
Terbukti, program latihan yang
lebih sistematik selain pelbagai insentif baharu yang diperkenalkan BAM
terutama bagi menjaga kebajikan pemain serta jurulatih nyata memberi impak positif
terhadap perkembangan sukan itu.
Kejayaan yang diraih pada tahun
ini sudah pasti akan menjadi penanda aras baharu untuk BAM bagi merencanakan
lebih banyak program pembangunan bagi memastikan badminton kekal menjadi
penyumbang utama kepada kejayaan negara pada masa depan.
SUMBER- SINAR HARIAN
ONLINE 26 DISEMBER 2016